Tindakan
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming meminta Menteri Besar Perak Datuk
Seri Dr Zambry Abd Kadir menjawab isu pemindahan pengundi disifatkan sebagai
‘salah alamat’.
Timbalan
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad berkata urusan
mengenai pendaftaran mahupun perpindahan pengundi adalah proses
yang dibuat melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tidak
melibatkan Menteri Besar mahupun Barisan Nasional (BN).
“Sebagai
pemimpin politik, Nga sepatutnya tahu proses pendaftaran dan perpindahan
pengundi termaktub dalam perlembagaan dan SPR
akan membuat pameran setiap suku tahun daftar pemilih bagi tujuan bantahan.
Persoalannya,
adakah Nga tidak tahu atau tidak pernah mahu ambil tahu soal bantahan sewaktu
daftar pemilih dipamerkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau
mengulas gesaan Nga sebelum ini yang meminta penjelasan BN dan Zambry mengenai
pemindahan pengundi di beberapa kawasan di Perak.
Menurut
Saarani proses belah bahagi yang telah diwartakan pada tahun lalu oleh SPR
berdasarkan peruntukan undang-undang, turut menyebabkan pergerakan pengundi
khususnya perubahan daerah mengundi.
“Ini
melibatkan pengundi tanpa mengira penyokong mana-mana parti dan proses ini
dilakukan oleh SPR dalam usaha memperbetulkan sempadan pilihan raya. Malah, DAP
juga telah dimaklumkan mengenai perkara ini,” katanya.
Saarani
turut menasihati Nga supaya tidak bermain ‘baling batu sembunyi tangan’ selepas
DAP sering menggunakan fitnah dan tohmahan terhadap pihak lain bagi menutup
‘kejahatan’ yang dilakukan mereka. – BERNAMA