Kuala
Lumpur: "Saya dan rakan lain terkejut apabila dikenakan bayaran RM900
untuk empat menu makanan. Harga itu melampau dan tidak berbaloi," kata
Mohd zulfadely Mohd Yunus, 24, salah seorang daripada 12 individu yang tidak
berpuas hati dengan tindakan sebuah restoran menyediakan menu makanan laut di
Labuan, Sabah.
Dalam kejadian jam 7.40 malam, Jumaat lalu itu, dia dan
rakannya mula memesan menu seperti ikan dan sotong goreng, sayur campur dan sup
jagung yang disediakan dalam beberapa hidangan di setiap meja.
“Kami juga ada memesan hidangan ayam goreng dan
buah-buahan sebagai pencuci mulut tapi tidak disertakan dalam hidangan itu.
Kami juga hairan kerana harga itu dikenakan untuk hidangan makanan saja dan
tidak termasuk minuman yang kami pesan. Ia melampau dan tidak berbaloi,"
katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Dia berkata, selepas semua selesai makan dan seorang
daripada mereka bangun untuk membuat pembayaran, penjaga kaunter di restoran
itu memaklumkan jumlah keseluruhan hidangan makan malam itu adalah sebanyak
RM900.
"Kami semua yang ada di situ terkejut. Ada yang
menggeleng kepala seperti tidak percaya dengan apa yang kami dengar daripada
penjaga kaunter terbabit itu. Langsung tidak masuk akal.
"Apabila ditanya, penjaga kaunter itu memaklumkan
pihaknya tidak tahu namun itu adalah harga sebenar selepas membuat pengiraan.
Kami juga tidak dibenar melihat resit untuk harga pembayaran ke atas beberapa
menu itu.
"Walaupun terkedu, bayaran tetap dibuat iaitu
sebanyak RM700 selepas sesi tawar menawar kerana tidak mahu membuat kecoh dan
memanjangkan perkara itu. Hakikatnya, kami tidak setuju dengan harga cekik
darah yang dikenakan," katanya.