Jumaat, 12 Disember 2014

PRESIDEN CUEPACS DAH HILANG AKAL ???

Tukar dalam tempoh lima tahun tidak praktikal
 
KUALA LUMPUR 11 Dis. – Cadangan menempatkan anggota agensi penguat kuasa tidak melebihi lima tahun di satu-satu kawasan dilihat tidak praktikal dalam menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, langkah tersebut hanya akan membebankan pegawai dan anggota penguat kuasa kerana mereka terpaksa berhadapan pelbagai masalah lain seperti tempat tinggal, logistik dan sebagainya.
Rasuah bukan berpunca daripada jabatan atau agensi penguat kuasa tetapi lebih menjurus kepada integriti seseorang pegawai atau anggota itu.
“Anggota yang kurang berintegriti masih boleh menerima sogokan daripada pihak yang memperalatkan mereka walaupun dalam masa singkat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda supaya setiap agensi penguat kuasa tidak menempatkan pegawai dan anggotanya di satu-satu kawasan melebihi lima tahun kerana terdapat anggota yang berkhidmat sehingga 20 tahun di kawasan tertentu.
Wan Khairul Ihsan dalam pada itu mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperkasakan supaya agensi tersebut lebih proaktif dalam membendung gejala rasuah di negara ini.
 
Katanya, SPRM perlu bangkit daripada lena menerusi pemantauan secara berterusan di setiap agensi penguat kuasa dan bukan hanya bertindak selepas menerima laporan atau aduan.
Tambah beliau, antara mekanisme lain dalam membanteras gejala rasuah adalah dengan meletakkan anggota SPRM di setiap agensi atau jabatan penguat kuasa di seluruh negara.
 
“Perubahan positif dapat dilihat dalam agensi yang telah ditempatkan anggota SPRM dan OMBAK berharap agar langkah ini diperluaskan ke semua agensi penguat kuasa seluruh negara bagi memantau aktiviti pegawai dan anggota selain memberi pemahaman dan kesedaran kepada mereka terhadap kepentingan integriti,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), Jeevan S. Ramamurthy berkata, pihaknya menyambut baik cadangan yang dikemukakan CUEPACS dan percaya langkah itu dapat membantu kerajaan dalam menangani gejala rasuah.
 
Katanya, menempatkan anggota penguat kuasa tidak melebihi lima tahun di sesebuah kawasan telah dipraktikkan dalam era bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
 
“Terdapat pegawai dan anggota penguat kuasa yang mengambil kesempatan daripada kelonggaran peraturan tersebut dengan menjadikan alasan urusan persekolahan anak-anak, sukar mendapatkan rumah dan lain-lain sebagai alasan untuk tidak ditukarkan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...