Jumaat, 26 Disember 2014

Kelantan bergelap bekalan elektrik terjejas


KUALA LUMPUR, 26 Disember: Seramai 63, 221 pengguna di Kelantan, Terengganu dan Pahang terjejas bekalan elektrik berikutan bencana banjir yang berlaku beberapa hari lalu.

Jurucakap Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, sebanyak 849 pencawang dihentikan sementara berikutan banjir yang berlaku di tiga negeri terbabit.

“Langkah ini dilakukan bagi mengelakkan lintar pintas dan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.


Tambahnya, beberapa pencawang elektrik akan mula dibuka apabila banjir mula surut di beberapa kawasan.

Difahamkan, jumlah pengguna paling ramai terjejas ialah Kelantan dengan seramai 42,625 pengguna dengan penutupan operasi 510 pencawang elektrik di Kuala Krai, Gua Musang, Jeli, Machang, Tanah Merah, Kota Bharu dan Tumpat.

Sementara itu, di Terengganu, penghentian operasi 133 pencawang elektrik di Kemaman, Bandar Al- Muktafi Billah Shah dan Dungun pula melibatkan 8,105 pengguna manakala di Pahang 5,878 pengguna terjejas melibatkan 206 pencawang elektrik.

Katanya, TNB akan memantau peralatannya seperti pencawang elektrik di kawasan banjir dan akan menutup sekiranya air mencecah paras bahaya.

“Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454,” katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...