Selasa, 2 Oktober 2012

Unit perang siber tangani persepsi negatif


Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu mewujudkan kumpulan penggerak di peringkat akar umbi yang dikenali sebagai `Unit Perang Siber’ bagi menangani persepsi negatif mengenai Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengarah Strategik Umno Perhubungan Negeri Terengganu, Dato’ Rosli Mat Hassan, berkata kumpulan yang berfungsi sebagai perisai di peringkat Kerajaan BN serta Umno negeri bertujuan menangkis dan menguruskan persepsi itu dengan baik sama ada menerusi facebook, twitter, blog dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

“Kita tidak pernah lekang daripada berdepan dengan pelbagai tanggapan buruk dan persepsi yang diuar-uarkan oleh segelintir kumpulan, sama ada dari pihak pembangkang mahu pun pemimpin dan ahli parti sendiri. 


“Jika pembangkang kerja menabur fitnah dan menyebar maklumat tidak tepat itu sudah amalan mereka demi meraih sokongan rakyat supaya parti diwakili mereka dipilih penyokong. Malah, mereka sebagaimana yang kita tahu akan berusaha meyakinkan rakyat dengan apa cara sekali pun,” katanya ketika ditemui Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Rosli berkata, Umno negeri melihat persepsi negatif di kalangan pemimpin dan ahli parti sendiri perlu ditangani secara berhemah serta dianggap sesuatu yang serius memandangkan penyokong BN dan Umno Terengganu tidak besar berbanding negeri lain.

Katanya, selain menangani persepsi kurang baik menerusi media maya dan alam siber, semua pihak sama ada ketua di peringkat bahagian, Dewan Undangan Negeri mahu pun cawangan masing-masing perlu bertindak menghuraikan fakta sebenar kepada rakyat bagi membetulkan tanggapan negatif itu.

 Pada masa yang sama, beliau juga meminta semua pemimpin dan ahli parti bukan sahaja tidak mengingkari janji dan lafaz ikrar sebagai ahli parti, malah perlu menyemat rasa cinta dan hormat terhadap Kerajaan BN dan Umno yang sudah banyak berjasa serta memberi faedah kepada seluruh umat Islam dan pelbagai kaum sejak merdeka lagi.

 “Kadang-kadang wujud persepsi negatif terhadap parti disebabkan kita rasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan dan pandangan kerana kepentingan hendak menjadi calon, hendak dihargai dan dihormati. 

“Dalam satu organisasi besar, ia merupakan perkara biasa, tetapi kita berharap semua pemimpin dan ahli kembali bersatu di bawah satu bumbung dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi parti, bukan kerana kepentingan peribadi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berbangga kerana masih ramai di kalangan pemimpin dan ahli Umno sendiri yang tetap meneruskan perjuangan melaksanakan kerja parti dan menyokong kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said walaupun gagal mendapat jawatan yang mereka cita-citakan.

 “Perkara ini harus menjadi ikutan dan contoh kepada negeri lain, di mana kepimpinan parti peringkat bahagian sentiasa akur keputusan pucuk pimpinan dan bergerak seiring dalam memberi sokongan kepada kepimpinan tertinggi .

“Dalam hal ini walaupun mereka meletakkan kepentingan peribadi satu perkara yang penting, mereka masih lagi menjadikan partisebagai asas utama perjuangan,” katanya.

Sumber:teganukita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...