Rabu, 17 Oktober 2012

Perkasa Buat Ketetapan Sokong, Bantu UMNO, BN



Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berikrar akan bekerja keras membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) mendapatkan mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Naib Presidennya, Datuk Zulkifli Nordin, berkata selaku badan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu, pihaknya akan berusaha keras membantu kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan semula majoriti 2/3 pada pilihan raya umum nanti.
“Di peringkat Pusat, kita telah mengambil keputusan untuk membantu UMNO dan BN mendapatkan mandat daripada rakyat dengan bekerja keras dengan turun ke bawah berjumpa dengan rakyat jelata.
“Kita akan menganjurkan kempen di peringkat akar umbi agar orang Melayu sedar akan kedudukan mereka yang saban hari diserang dan diancam agar hak keistimewaan kita ini dapat terus dipertahankan.
“Selain itu, kita juga tidak akan menganiaya dan menghormati bangsa lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara,” katanya kepada pemberita selepas program Rapat Umum Perkasa di Kampung Sungai Rokam, dekat Ipoh, malam tadi.
Hadir sama, Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md Arip dan Adun Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman.
Zulkifli yang juga merangkap Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, berkata realiti politik hari ini menampakkan hak istimewa umat Islam diserang dengan sistem yang terancang melalui bantuan pihak asing.
Bantuan pihak asing ini katanya, ingin melihat berlaku perubahan regim di negara ini.
Terdahulu, hampir 3,000 rakyat hadir memberi sokongan kepada Rapat Umum Perkasa itu yang julung-julung kali diadakan di bandar raya Ipoh.
Zulkifli dalam ceramahnya antara lain menyentuh pembohongan demi pembohongan yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata untuk mencapai matlamatnya menguasai Putrajaya.
Tegasnya, hanya orang yang gila dan sewel akan menyokong Pakatan Rakyat (PR) kerana saban hari, semakin banyak kepincangan didedahkan berhubung sikap sebenar pemimpin pembangkang yang hanya tamak dan gila kuasa.
“Rakyat perlu menilai secara realiti antara kepimpinan Najib dan Anwar demi masa depan agama dan bangsa.
“Kepimpinan Najib dengan slogan Janji Ditepati manakala Anwar pula terkenal dengan cakap bohong dan sanggup menjual agama dan bangsa untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...