Ulat Mahkamah Cemari Sistem Keadilan
KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Mahkamah Kuala Lumpur mengesan kegiatan 'ulat
mahkamah' atau touting melibatkan individu tidak bertanggungjawab menawarkan
untuk menjadi pengantara antara peguam dan mahkamah bagi menyelesaikan kes di
mahkamah dengan bayaran tertentu.
Kegiatan itu dilihat menyasarkan orang awam terutama yang naif dan kurang
pengetahuan mengenai kes dan prosedur mahkamah dan terdesak memerlukan bantuan
untuk menyelesaikan kes yang dihadapi.
Lebih mengecewakan, kadar bayaran yang sewenangnya dikenakan ulat
mahkamah ke atas orang awam, kononnya mereka mampu menyelesaikan dan membela
anggota keluarga yang ditahan pihak berkuasa.
Susulan penularan aktiviti kotor itu, Mahkamah Kuala Lumpur telah
mengeluar dan mengedarkan notis bagi memberi amaran kepada individu yang
melakukan aktiviti berkenaan.
Notis yang ditampal di kawasan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur itu antara
lain menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dan berhati-hati sekiranya
menerima sebarang tawaran menyelesaikan kes di mahkamah dengan bayaran
tertentu.
"Pihak mahkamah tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang
perseorangan untuk menyelesaikan kes bagi pihak mahkamah.
"Orang ramai diminta melaporkan segera kepada pihak mahkamah atau
pihak polis sekiranya ditawarkan perkhidmatan sedemikian," menurut notis
itu.
Seorang peguam yang enggan mendedahkan namanya memberitahu, kegiatan
touting berlaku kerana kurangnya pengetahuan masyarakat tentang prosedur kes
mahkamah menyebabkan individu tidak bertanggungjawab mula mengambil kesempatan.
"Apabila mereka (orang ramai) atau anggota keluarga dihadapkan ke
mahkamah, mereka yang tidak tahu prosedur mahkamah akan terus datang ke
mahkamah dan bertanyakan sesiapa sahaja yang ada di mahkamah.
"Di sinilah ada pihak yang ambil kesempatan mengatakan mereka ada
kenal peguam yang boleh tolong. Kebanyakan touting berlaku daripada individu
yang bukan peguam tetapi dikenali sebagai 'runner' atau ulat yang meraih orang
awam untuk diperkenalkan kepada peguam.
"Mereka (ulat) akan membuka harga (menawarkan) harga mereka dengan
cara meyakinkan orang awam ini dan seterusnya membawa mencari peguam dan minta
peguam tolong menyelesaikan kes tersebut dengan mengatakan orang awam itu
adalah kawan mereka," katanya.
Bernama mendapatkan pandangan beberapa pengamal undang-undang yang
menyifatkan kegiatan itu boleh menjejaskan kredibiliti sistem kehakiman dan
memberi persepsi negatif kepada tanggapan umum.