SHAH ALAM -
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal membidas tindakan pimpinan
tertinggi parti itu yang membuat keputusan untuk menghalang Timbalan Presiden,
Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap dalam perasmian sayap-sayap parti.
Beliau menegaskan Umno yang menjangkau usia 70 tahun
sepatutnya lebih terbuka dan tidak hanya inklusif untuk kepentingan individu-individu
tertentu sahaja.
"Umno bukan dimiliki oleh seorang ahli, Umno
adalah hak kepada lebih tiga juta ahli yang telah bersama-sama mempertahankan
parti keramat sejak sekian lamanya," katanya, dalam satu kenyataan,
semalam.
Beliau
berkata, walaupun menghormati keputusan Majlis Tertinggi Umno itu namun, beliau
berpandangan adalah tidak wajar untuk menidakkan tradisi parti yang sebelum ini
dilakukan dalam setiap kali Perhimpunan Agung Umno.
Katanya, dalam perhimpunan tersebut bukan hanya
ahli Umno sahaja yang mahu mendengar ucapan dari pemimpin tertinggi tetapi
rakyat Malaysia juga mahu mengikuti perkembangan Umno.
"Saya masih ingat semasa pertama kali saya
mengikut ayahanda saya Tun Sakaran ke Perhimpunan Agong Umno pada tahun 1970-an
di Hotel Hilton, tempat persidangan pada ketika itu bukan sahaja dipenuhi
dengan asap rokok, malahan halwa telinga kita disajikan dengan ucapan-ucapan
yang bernas.
"Walaupun ada juga teguran-teguran lantang
yang dibuat, tetapi saya dapat lihat setiap ahli Umno yang hadir termasuk
barisan pemimpin tertinggi parti menerima setiap bait ucapan dan teguran itu
dengan berlapang dada," katanya.
Katanya, walaupun sebelum ini Presiden Umno, Datuk
Seri Najib Tun Razak pernah menyuarakan supaya Umno perlu lakukan perubahan
namun proses tersebut tidak berlaku di peringkat atasan.
"Ia perlukan komitmen dan juga sokongan di
setiap peringkat, terutama di peringkat atasan yang mempunyai kemampuan
menentukan hala tuju parti keramat ini," katanya.
Pautan: KLIK DISINI