Rabu, 27 Mac 2024

PENGASAS KK MART, PENGARAH DAN PENGEDAR STOKING 'KALIMAH ALLAH' DITUDUH LUKAKAN HATI UMAT ISLAM

 

SHAH ALAM: Tujuh pihak termasuk KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd dan Xin Jian Chang Sdn Bhd yang juga pembekal stoking tertera kalimah Allah kepada rangkaian kedai serbaneka itu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

Selain dua syarikat berkenaan, turut didakwa Pengasas, Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, 57, dan isterinya yang juga pengarah syarikat sama, Datin Seri Loh Siew Mui, 53, selain Pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd yang juga tiga beranak iaitu Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36.

Lima individu berkenaan mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, Kee Kan dan Siew Mui didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan umat Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran jualan di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd di Jalan PJS 11/7, Bandar Sunway, jam 6.30 pagi pada 13 Mac lalu.

DISYORKAN UNTUK ANDA

·         'Jangan keluarkan kenyataan pendakwaan kes stoking kalimah Allah' - Peguam
·         TERKINI: Pengasas KK Mart, isteri hadapi tuduhan lukakan perasaan orang Islam jual stoking kalimah Allah
·         Isu stoking kalimah Allah: Pengasas KK Mart, isteri dan syarikat pembekal akan didakwa hari ini
·         KK Mart, pengurus tertinggi syarikat pembekal stoking didakwa esok - Jabatan Peguam Negara
·         Polis siasat kes jualan stoking tertera kalimah Allah
·         Stoking kalimah Allah: Bukit Aman buka 2 kertas siasatan
·         Isu Stoking: KK Mart saman Xin Jian Chang, tuntut pelbagai ganti rugi
·         Isu kalimah Allah: Pengasas KK Mart antara 8 dirakam keterangan

Pendakwaan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tiga pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd pula berdepan pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan berkenaan di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 109 KK dibaca bersama Seksyen 298 KK yang memperuntukkan hukuman sama.

Susulan pengakuan tidak bersalah, peguam mewakili dua pengasas kedai serbaneka itu, Datuk Rajpal Singh, mencadangkan jaminan RM12,000 untuk kedua-dua anak guam, manakala peguam bela tiga pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd, Lau Yi Leong, pula memohon jaminan RM5,000 masing-masing untuk anak guam.

29 April sebutan semula kes

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, memohon jaminan RM15,000 masing-masing bagi lima tertuduh, sebelum hakim membenarkan semua mereka diikat jamin RM10,000 setiap seorang dan menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula kes.

Rajpal ketika ditemui media pula menzahirkan rasa keyakinan kerana memiliki peluang cerah untuk memenangi kes berkenaan.

"Pendakwaan merasakan ada kes sebab itu mengikut Seksyen 298 KK dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

"Anak guam mengaku tidak bersalah serta tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah," katanya.


Suasana di perkarangan lobi Mahkamah Shah Alam hari ini susulan pertuduhan kes isu penjualan stoking bertulisan kalimah Allah. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Susulan isu itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita.

Seri Paduka Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.


Pengasas, Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan (berkaca mata hitam) didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan umat Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran jualan di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd di Jalan PJS 11/7, Bandar Sunway, jam 6.30 pagi pada 13 Mac lalu. - NSTP/Asyraf Hamzah

 https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/03/1228066/pengasas-kk-mart-pengarah-dan-pengedar-stoking-kalimah-allah-dituduh


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...