KUALA LUMPUR: Polis
masih belum mengambil keterangan sebuah syarikat teknologi maklumat yang
mendakwa bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang
ditemukan di tempat letak kereta di sebuah
pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya di sini, milik mereka.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar berkata
pihaknya menerima laporan daripada pengarah syarikat terbabit yang mendakwa
wang tersebut adalah milik syarikatnya dan merupakan duit perniagaan.
"Kita
menerima laporan daripada pengarah syarikat berusia lingkungan 40 tahun itu
pada 11.30 pagi Khamis lepas.
"Ketua Balai Polis Damansara sudah memanggil
pengadu terbabit untuk memberi keterangan, namun pengadu gagal hadir dengan
pelbagai alasan seperti menghadiri mesyuarat dan sakit," katanya ketika
dihubungi Bernama.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pengawal
keselamatan berusia 30-an menemukan sebuah bagasi berwarna merah jambu dan
putih bersaiz sederhana berisi wang kertas not RM50 dan RM100 dengan jumlah
keseluruhan melebihi RM500,000 pada 8 pagi Rabu lepas.
Hussein dilaporkan berkata pihak polis telah
meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah itu, namun
tidak meliputi lokasi bagasi ditemukan.
Beliau berkata sekiranya tiada individu atau pihak
yang menuntut wang tersebut pihaknya akan menyerahkannya kepada mahkamah untuk
tindakan selanjutnya.