18 Mac 2024 06:32pm
KUALA LUMPUR
- Pindaan kepada Akta Polis 1967 (Akta 344) akan melibatkan
perubahan terhadap 10 Fasal
antaranya membolehkan Yang di-Pertuan Agong menjadi Pesuruhjaya Yang Dipertua
Kehormat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut naskhah biru yang diedarkan di
Parlimen pada Isnin, hal itu melibatkan pindaan terhadap Fasal 2 akta berkenaan
dengan seksyen baharu 6A dimasukkan bagi tujuan terbabit.
Selain itu, Fasal 4 bertujuan meminda
Seksyen 21 untuk mengadakan peruntukan bagi kewajipan pegawai polis
melaksanakan tugas mengiring di mana-mana jalan awam dan mana-mana orang yang menghalang,
menentang atau melanggar arahan polis boleh didenda sehingga RM10,000 serta
penjara sehingga dua tahun berbanding hukuman RM200 dan dua bulan penjara
sebelum ini.
Fasal 5 pula bertujuan meminda Seksyen 26 bagi menaikkan denda makismum daripada RM1,000 kepada
RM2,000 terhadap mana-mana orang yang tidak mematuhi arahan polis untuk berhenti sebelum menghampiri
sekatan yang dibina atau diletakkan oleh pegawai polis.
Turut dipinda Fasal 6 yang
membabitkan perubahan Seksyen 66 akta itu bagi membolehkan mana-mana majikan yang tidak mengambil semula mana-mana pegawai
polis simpanan untuk bekerja boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 dan penjara
setahun berbanding denda RM1,000 dan penjara enam bulan ketika ini.
Pindaan itu turut memperuntuk mana-mana
pegawai polis yang tidak hadir bertugas selama 14 hari secara berterusan tanpa
sebab yang munasabah akan disifatkan telah membolos dan melakukan satu
kesalahan dengan melibatkan pindaan pada Seskyen 86.
Jadual Pertama kepada akta itu juga
memotong sebutan tentang Inspektor Kanan
memandangkan jawatan itu tidak lagi digunakan dalam pangkat PDRM.
Terdahulu, bacaan kali pertama pindaan
itu dibentang di Dewan Rakyat oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr
Shamsul Anuar Nasarah manakala bacaan kali kedua dan ketiga dijadual dibuat
pada mesyuarat kali ini. - Bernama