Selasa, 19 Mac 2024

ISTIADAT MENGHADAP DAN ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT WILAYAH PERSEKUTUAN TAHUN 2024

 

KUALA LUMPUR, 19 MAC 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir ke Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2024 yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara, di sini, pagi tadi.

Istiadat yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang segak mengenakan persalinan Pakaian Seragam Istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang kepada 33 orang penerima yang telah berjasa, mencurahkan khidmat bakti atau menyumbang kepada Wilayah Persekutuan.

Turut berangkat ke istiadat yang sama ialah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Mendahului senarai penerima PDRM adalah Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato' Allaudeen Abdul Majid dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.) yang membawa gelaran 'Datuk', disusuli Ketua Penolong Pengarah (Perancangan Strategik), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, ACP Lai Lee Ching menerima Pingat Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W.) serta Ketua Unit Gempur I, Unit Tindakhas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Bukit Aman, DSP Mohamed Afiah Ahmad dikurniakan Pingat Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W.).

Hadir sama, Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan PM merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, barisan Menteri Kabinet, Ketua-ketua Jabatan Agensi Kerajaan Persekutuan serta Negeri, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Kuala Lumpur, Datin Dr. Kamariah Omar.

https://www.rmp.gov.my/news-detail/2024/03/19/kpn-hadir-istiadat-menghadap-dan-istiadat-pengurniaan-darjah-kebesaran-bintang-dan-pingat-wilayah-persekutuan-tahun-2024

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...