Aktiviti mencandat sotong di perairan negeri ini melalui pakej terancang akan dipromosikan ke peringkat antarabangsa sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.
Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Terengganu, Mohd. Nasir Kushairi berkata, aktiviti menarik yang menyajikan pengalaman unik itu tidak seharusnya disia-siakan untuk menarik pelancong.
"Mencandat sotong merupakan satu aktiviti yang unik dan hanya boleh dilakukan pada musim tertentu iaitu pada April hingga pertengahan Jun setiap tahun," katanya.
Beliau berkata demikian sempena majlis ramah mesra bersama media dan meraikan Kelab Rekreasi Tourism Malaysia 'Jom Gi Candat 2012' di Hotel Seri Malaysia Marang baru-baru ini.
Sehubungan itu katanya, Tourism Malaysia Terengganu akan bekerjasama dengan agensi pelancongan, pengusaha bot dan hotel bagi menyediakan pakej yang menarik.
Katanya, beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan agensi yang berkaitan sudah dilakukan untuk memastikan pakej yang disediakan selaras dari segi kemudahan, keselesaan dan kadar harga.
Nasir berkata, sebagai contoh pada masa ini kadar sewa bot yang ditetapkan oleh tekong bot adalah berbeza dan ia boleh mengelirukan pelancong terutama yang pertama kali menyertai aktiviti tersebut.
Beliau berkata, dengan adanya penyelarasan itu aktiviti mencandat sotong dapat dipromosikan dengan sempurna yang diharapkan ia akan menjadi aktiviti terunggul di negeri ini setaraf dengan Piala Monsun dan kejohanan kuda lasak.
Sumber:teganukita