Selasa, 15 Mei 2012

PEJAWAT AWAM JADI PENGKHIANAT SEDANG DIKESAN ???

Kerajaan negeri mengingatkan semua penjawat awam agar tidak menjadi ‘pengkhianat’ kepada kerajaan serta mensabotaj usaha-usaha membangunkan rakyat negeri ini.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan melantik mereka ke jawatan masing-masing dengan lafaz ikrar menjaga rahsia kerajaan serta bersedia memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.


“Saya tahu ada yang telah sabotaj kerajaan serta sanggup membocorkan maklumat kepada pihak luar (pembangkang),” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman hari ini.


Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah,; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan ketua-ketua jabatan serta penjawat awam negeri.

“Bukan saya tidak tahu siapa yang buat, semua data peribadi ada dalam komputer saya seperti nama tempat tinggal dan pekerjaan malah bacaan sikap putih, kelabu , atas pagar dan hitam,” katanya.

Katanya, diam beliau bukan bererti takut tetapi atas dasar bertolak ansur serta memberi peluang secukupnya dan akan bertindak bila tiba waktu sesuai.

Katanya, penjawat awam merupakan golongan bertuah yang mendapat pelbagai keistimewaan pinjaman perumahan hingga tiga empat ratus ribu, gaji tetap setiap bulan dan peluang kenaikan pangkat serta tempoh perkhidmatan hingga usia 60 tahun.

“Berbeza dengan orang politik, jangka hayatnya dikira lima tahun sekali, jika bernasib baik terpilih lagi ,manakala kelayakan membuat pinjaman juga sekitar RM150,000 saja kerana tempoh bekerja pendek,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad meminta penjawat awam yang lama berkhidmat menggunakan pengalaman yang ada untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kepada masyarakat serta menjadi teladan kepada pekerja baru.

Menteri Besar kemudiannya menyampaikan APC kepada 50 orang penjawat awam negeri bermula dari Gred Utama ‘C’ hingga Gred R4 (KUP) dan semua penerima akan dibawa menunaikan haji di Tanah Suci Makkah beserta wang tunai RM5,000.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...