Sabtu, 26 Mei 2012

Hasrat diibarat sebagai angan-angan kosong



KUALA LUMPUR 24 Mei - Perjuangan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu memastikan bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri dilihat sebagai angan-angan kosong dan tidak akan direstui majoriti penduduk negara ini.

Presiden Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata, apa yang dilaungkan oleh Karpal itu tidak dapat diterima memandangkan majoriti penduduk negara ini terdiri daripada masyarakat Melayu dan bumiputera.

Sambil menyifatkan kenyataan Karpal itu sebagai tidak masuk akal, beliau juga percaya ia dibuat bermotifkan politik dan cuba meraih sokongan masyarakat bukan Melayu.

"Jika perkara sedemikian terjadi, Malaysia bakal menjadi sebuah negara republik dan institusi diraja akan turut dihapuskan.

"Status bumiputera dan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang terpelihara selama ini juga akan terhakis secara perlahan-lahan atas nama kesamarataan antara kaum," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Karpal seperti disiarkan Utusan Malaysia hari ini yang menegaskan selagi hidup, beliau akan terus berjuang memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri.

Menurut Karpal, ini kerana tidak termaktub dalam Perlembagaan yang menyebut hanya orang Melayu dibenarkan menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Karpal itu dan meminta masyarakat Melayu menilai tindak-tanduk pemimpin pembangkang tersebut.

Katanya, keberanian Karpal itu disebabkan perpecahan antara Melayu yang semakin jelas sehingga diambil kesempatan mempersoalkan mengenai keistimewaan orang Melayu.

"Saya menyeru seluruh rakyat terutamanya Melayu dan bumiputera mengambil iktibar dan kembali bersatu memperkuatkan barisan bagi menjamin kepentingan kaum ini dan agama Islam," jelasnya.

Menurut Kamarudin, DAP hanya menggunakan rakan-rakan dalam pakatan khususnya Pas demi mencapai agenda politik mereka dan Pas seharusnya sedar seterusnya berjuang bersama-sama UMNO.

"Perjuangan yang dibawa DAP hanyalah demi kepentingan mereka sahaja dan setelah memegang kuasa, rakan-rakan dalam pembangkang terutamanya Pas pasti akan dibuang begitu sahaja," katanya.

Sumber:utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...