Jumaat, 25 Mei 2012

Pesta Pantai Terengganu tampil pelbagai aktiviti tradisional


Image Detail
Kerajaan negeri akan menganjurkan Pesta Pantai Terengganu (PPT) 2012 bertempat di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu bermula esok (25 Mei) hingga 3 Jun.

Program yang bakal berlangsung selama 10 hari itu akan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada jam 8.30 malam esok.

Pada malam itu, Dato’ Seri Haji Ahmad akan diarak masuk ke tapak program dengan menaiki beca berhias, diikuti gendang nusantara kesenian Besut dan pelbagai adat kemelayuan lain.


Tembakan bunga api dalam tempoh 15 minit berlatarbelakang pancaran cahaya bunyi turut dipersembahkan sebagai tanda gimik perasmian pesta itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata lebih 50,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu dijangka hadir bagi memeriahkan program itu.

Katanya, sasaran itu mampu dicapai kerana PPT diadakan sempena cuti sekolah di mana lebih ramai pengunjung dapat meluangkan masa bersama keluarga berbanding pada hari biasa atau waktu bersekolah.

“Pelbagai aktiviti kebudayaan dan permainan tradisonal yang jarang dilihat genarasi sekarang akan dipamerkan semata-mata mahu menarik minat pengunjung selain ingin mengembalikan nostalgia lampau.

“Pengunjung sewajarnya mengambil peluang seumpama ini bagi melihat pertunjukan seperti silat, gasing terbang, dikir barat, masakan kuih tradisional dan paling menarik cara membuat emping ubi,” katanya kepada Teganukita.

Sumber:teganukita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...