KERAJAAN negeri akan membelanjakan kira-kira RM55 juta untuk dana hari raya bagi menambahkan keriangan rakyat berpendapatan rendah pada Aidilfitri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, dana itu dijangka mula diagihkan pada Ramadan ini dengan jumlah penerima dijangkat meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu.
"Tahun lepas kita beri kepada lebih 176,000 penerima dan tahun ini, kita jangka ia bertambah 10 peratus," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman hari ini.
Jelas beliau, kelayakan untuk pemberian dana raya tahun ini juga dinaikkan daripada mereka yang berpendapatan isi rumah RM1,500 kepada RM2,000.
“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk naikkan pendapatan isi rumah kepada RM2,000 seiring dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberi bantuan kepada keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah,” katanya.
Tahun lalu, kerajaan negeri membelanjakan RM50.47 juta bagi tujuan itu, RM46.88 juta (2010), RM50.62 juta (2009) dan RM47.52 juta (2008).
Sementara itu katanya, Kerajaan Terengganu juga sedang mengemaskini data bagi bantuan Dana Bakti Remaja RM200 seorang yang akan diagihkan bermula Jun ini.
Tahun lalu kata Dato’ Seri Ahmad, sejumlah RM24 juta dibelanjakan untuk program bantuan itu, RM23.42 juta (2010), RM23.15 juta (2009) dan RM18.69 juta (2008).
“Tahun ini, kita jangkakan kira-kira 95,000 remaja mendapat manafaat daripada program berkenaan di seluruh negeri dengan perbelanjaan hampir RM24 juta,” ujarnya.