Ahad, 13 Mei 2012

Pegawai Tadbir Diplomatik diminta bantu majukan Terengganu


Anak-anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan yang memegang jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di pelbagai jabatan Kerajaan Persekutuan diminta menyalurkan maklumat mengenai projek-projek yang terdapat di jabatan masing-masing kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan kerajaan negeri memohon projek berkenaan dilaksanakan di Terengganu untuk faedah rakyat tempatan.

Beliau berkata, sebelum ini tidak banyak maklumat mengenai projek yang ada di agensi Persekutuan, diperolehi pihaknya menyebabkan Terengganu terlalu bergantung kepada projek-projek yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Oleh itu, saya minta anak-anak Terengganu yang menjadi PTD supaya menyalurkan maklumat ini kepada kerajaan negeri agar lebih banyak permohonan dkemukakan kepada agensi Pusat pada masa depan untuk melaksanakan projek-projek di Terengganu.

“Kita juga memohon PTD menyalurkan maklumat kepada kerajaan negeri jika jabatan mereka menyediakan peruntukan untuk program dan projek tertentu pada masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Bersama YAB Menteri Besar Terengganu Dengan PTD Anak Terengganu Di Selangor dan Wilayah Persekutuan di Putrajaya, malam ini.
Hadir sama isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan YB Dr A. Rahman Mokhtar serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mat Razali Kasim.

Menteri Besar berkata, pihaknya berharap PTD dapat membantu membawa lebih banyak projek pembangunan ke Terengganu supaya rakyat mendapat banyak faedah daripada Kerajaan Pusat.

Pada pertemuan itu, Dato’ Seri Haji Ahmad turut memperkatakan secara terperinci pelbagai projek yang dilaksanakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Terengganu supaya PTD mendapat gambaran mengenainya.

Beliau turut menjelaskan pelbagai kejayaan yang diraih rakyat Terengganu dalam pelbagai bidang sejak kebelakangan ini hasil usaha gigih pemimpin BN membantu mereka dalam semua aspek.

Sumber:teganukita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...