Selasa, 28 Februari 2012

‘Mini Low Yat’ di Kompleks Usahawan Terengganu


Sebuah pasar ICT yang menempatkan 40 usahawan dan vendor berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bakal beroperasi di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) di Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu pada Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Azmi Razik berkata, pengusaha terbabit digabungkan di bawah satu koperasi bagi memasarkan gajet dan perkhidmatan ICT yang berkualiti dan harga lebih murah.

“Diharapkan ia bakal menjadi pusat jualan dan perkhidmatan utama di negeri ini sekali gus melonjakkan nama kompleks berkenaan setaraf dengan hab jualan peralatan ICT seperti Plaza Low Yat di Kuala Lumpur,” katanya selepas Majlis Mesra Media di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.



Majlis berkenaan anjuran bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat).

Tambah Azmi, KUT yang dibina dengan kos RM26 juta itu terletak kira-kira 12 kilometer dari pusat Bandar Kuala Terengganu dan kira-kira 15 minit perjalanan dari Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin.

“Selain menyasarkan warga penuntut universiti dan kolej-kolej sekitar sebagai pelanggan utama, kompleks itu dijangka menjadi tumpuan persatuan-persatuan pengusaha komputer untuk meningkatkan jaringan pemasaran produk dan perkhidmatan mereka,” ujarnya.

Selain menempatkan 18 pengusaha batik di Kota Batik katanya, kompleks tiga tingkat itu menyediakan ruang niaga untuk disewa, bilik pameran dan pusat pengeluaran moden dan tersusun.

“Kompleks itu bakal menjadi pemangkin kewujudan pusat pertumbuhan baru di kawasan berkenaan dengan kedudukannya yang strategik berhampiran jalan baru menghubungkan Losong, Kubang Jela, Jeram dan Gemuruh,” jelasnya.

Katanya lagi, separuh daripada KUT akan diubahsuai untuk menempatkan sebuah hotel, T’ Lodge dengan kapasiti 90 bilik.

"Dengan kadar sewa RM80 sehingga RM180 sehari, hotel ini mampu menyelesaikan masalah kekurangan tempat penginapan bagi menjana sektor pelancongan di negeri ini serta mewujudkan hampir 100 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat" katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...