Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meletakkan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi setiap Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) di seluruh negeri.
Timbalan Perdana Menteri berkata, semua Pengerusi Badan Perhubungan dan pimpinan BN peringkat negeri dipertanggungjawabkan untuk mencapai sasaran KPI yang ditetapkan.
“Harapan kita bila ada KPI, pimpinan negeri dan bahagian akan beri tumpuan untuk capai KPI yang ditetapkan atau capai lebih baik daripada itu. KPI ini kita letakkan sebagai asas untuk Badan Perhubungan BN di setiap negeri mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan bersama pemimpin UMNO Pahang di sini hari ini.
Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengerusi BN negeri.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pendekatan KPI dilihat amat berkesan dan telah terbukti menerusi pentadbiran negara dan program transformasi yang dilakukan.