Penggunaan bahasa ringkas dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) atau laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog dilihat membantutkan usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, justeru ia satu cabaran yang harus dihadapi dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu.
"Saya katakannya sebagai cabaran kerana penggunaan bahasa-bahasa SMS ini akan membunuh kesantunan dan kedaulatan bahasa kebangsaan itu sendiri.
"Sebagai contoh, seorang pensyarah terkejut apabila terdapat mahasiswa menggunakan bahasa SMS ketika menjawab soalan peperiksaan di universiti dan situasi ini perlu ditangani dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat negeri di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah, di sini, kelmarin.
Menurut Shafik Fauzan, kesantunan bahasa juga dilihat semakin tercemar apabila terdapat para pemimpin menggunakan laman sosial untuk memaki hamun secara terbuka.
"Mereka mengutuk dan mengeji menggunakan bahasa-bahasa yang tidak sepatutnya dan blog mereka dibaca oleh anak-anak muda.
"Bagaimana kita hendak mendaulatkan bahasa, menjiwai bahasa kalau penulisan di blog tidak mencerminkan kesantunan bahasa itu sendiri?" ujarnya.
Tambahnya, bahasa kebangsaan sebenarnya cukup indah kerana mempunyai bidalan atau perumpamaan bagi menegur sesuatu perkara.
"Bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan boleh jauh ke hadapan jika kita tidak mengubahnya dan menggunakannya dengan baik sama ada dalam penulisan atau percakapan termasuk ketika menyampaikan ceramah.
"Ini kerana, saya percaya kita akan dihormati di mana sahaja jika menggunakan bahasa dengan baik," jelasnya.