Selasa, 22 November 2011

Umno Terengganu sudah bersedia hadapi PRU Ke-13


UMNO Terengganu sedang bergerak dalam satu pasukan untuk berhadapan dengan pihak musuh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diumumkan bila-bila masa.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, YB Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang membuat persiapan ke arah pilihan raya dengan pergerakan melalui satu pasukan yang dianggap sebagai ‘aliran yang lebih lancar’.
Menurutnya, walaupun sebelum ini Umno Terengganu dikaitkan dengan krisis dalaman, namun tidak mustahil kepada semua peringkat untuk bergerak di bawah satu kepimpinan di peringkat negeri melalui Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.


“Umno Terengganu sudah bergerak dalam satu pasukan yang dinakhodakan oleh Datuk Seri Ahmad Said dan saya nampak masalah sebelum ini sudah selesai. Kita juga ke arah persediaan untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta kepemimpinan semua peringkat Barisan Nasional (BN) mengukuhkan semangat bekerja sebagai satu pasukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bekerja sebagai satu pasukan terutama pada peringkat bahagian menjadi teras kelangsungan parti dan kerajaan BN pada peringkat pusat dan negeri, selain membolehkan kerajaan mendapat mandat jitu daripada rakyat untuk membentuk semula kerajaan.

YB Ahmad Razif yang juga Adun Seberang Takir bersetuju dengan pandangan itu mengakui bahawa semua pihak perlu bersatu padu untuk memastikan agenda BN dan kerajaan tercapai.

“Yang mustahak adalah bersatu dan bekerjasama tanpa apa-apa prasangka dan halangan lain. Apa yang dikatakan oleh TPM itu adalah tepat dan betul,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...