Selasa, 11 Oktober 2016

KEPERCAYAAN DAP TERHADAP PERJUANGAN BERSATU MENURUN

PEMIMPIN Bersatu perlu bersikap ikhlas dan telus dengan mengemukakan matlamat perjuangan mereka sekiranya ingin terus bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain.

Pengerusi DAP Johor, Boo Cheng Hau berkata, beliau masih bersikap tunggu dan lihat mengenai hala tuju politik yang ingin diperjuangkan Bersatu untuk membentuk pakatan dengan pembangkang.

“Semua pemimpin pembangkang termasuk Bersatu perlu belajar daripada kesilapan lampau mereka. Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Dr Shahruddin Salleh pernah mengeluarkan kenyataan yang bersifat perkauman ketika sidang Dun Johor.  

“Ketika masih menjadi Adun Umno, Shahruddin banyak kali mengeluarkan kenyataan yang bersifat perkauman.


"Saya harap beliau tidak lagi melakukan kesilapan seperti itu kerana jawatannya kini ialah Setiausaha Agung Bersatu, satu jawatan yang penting dalam sesebuah parti politik,” kata Cheng Hau seperti yang dilaporkan dalam China Press.

Menurut beliau, sebelum ini pembentukan Pakatan Rakyat boleh dianggap sebagai berjaya kerana mampu menarik sokongan daripada pengundi.

"Bagaimanapun, disebabkan pendirian pemimpin Pas yang tidak sehaluan dengan matlamat perjuangan yang ditetapkan Pakatan Harapan, pakatan pembangkang ini berkubur akhirnya.

“Negara kita adalah sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama. Parti politik yang berasaskan sesuatu kaum kini sudah dianggap tidak relevan lagi.

"Oleh itu, pemimpin Bersatu perlu menjelaskan pendirian dan dasar perjuangan mereka sekiranya ingin bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain,” katanya.

Apa motif geng baju hitam?

Seperti Bersih 5, satu lagi kumpulan yang dinamakan geng baju hitam juga didakwa akan mengadakan perhimpunan jalanan pada 19 November ini di Pulau Pinang.

Ini dinyatakan oleh Naib Presiden Gerakan, Asharuddin Ahmad seperti yang dilaporkan oleh Sin Chew Jit Poh.

“Sekarang kita lihat sudah ada Bersih dan geng baju merah. Baru-baru ini, saya diberitahu kawan saya, sudah wujud satu geng baju hitam yang sudah bersiap sedia buat perhimpunan pada 19 November ini di Pulau Pinang.

“Saya rasa bimbang dengan keadaan ini. Apakah motif geng baju hitam ini?” katanya.

Menurut beliau, selepas PRU 2013, perpaduan antara kaum di negara ini sudah tergugat dan banyak komen dalam laman sosial dipenuhi dengan kata-kata berbau perkauman, ini jelas satu perkembangan yang tidak sihat untuk negara kita.

“Sejak tahun 1960-an, semua rakyat jelata bercakap mengenai perpaduan antara kaum. Dan sehingga hari ini, isu perpaduan tetap wujud dan tak mampu diselesaikan,” katanya.

Asharuddin mencadangkan agar Gerakan memperuntukkan wang untuk mengadakan kempen kesedaran mengenai kepentingan perpaduan antara kaum di negara kita.

"Ini penting bagi menyalurkan semangat perpaduan kepada rakyat terdiri daripada berbilang bangsa dan agama," katanya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...