Ahad, 9 Oktober 2016

MUHYIDDIN BERHARAP PAS DAN DAP TIDUR SEBANTAL ????

Masalah dengan zaman Internet atau era media sosial adalah bahawa orang akan ingat apa yang anda katakan walaupun berdekad yang lalu - dan jika tidak ingat, mereka boleh menyelidik dan mengetahuinya.

Jadi, anda bukan sahaja perlu berhati-hati dengan apa yang anda katakan, tetapi anda harus ingat apa yang anda katakan pada masa lalu. Calon Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terpaksa berdepan dengan situasi sukar ini dan sekarang, beliau terpaksa memohon maaf atas apa yang dikatakannya pada masa lalu, yang kini menjejaskan kempennya.

Muhyiddin Yassin akan mendapati bahawa apa dikatakannya pada masa lalu dan apa yang beliau katakan sekarang akan diambil dan percanggahan antara 'dahulu dan sekarang' akan menjadi sangat ketara. Jika Muhyiddin fikir orang akan lupa apa yang beliau telah kata sebelum ini dan percanggahan terhadap apa yang dikatakan olehnya sekarang maka beliau sangat silap.


Sudah tentu, rakyat akan memahami apa yang Muhyiddin katakan pada masa lalu adalah atas kapasiti beliau sebagai pemimpin Umno, namun apa yang dikatakannya kini adalah sebagai musuh Umno. Sebagai contoh, dalam hanya beberapa bulan sahaja bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengubah nadanya dengan menyatakan apa yang cuba dilakukannya dahulu adalah kerana sayangkan Umno dan sekarang, beliau cuba memastikan Umno berkubur buat selama-lamanya.

Tidak syak lagi Mukhriz cuba menjustifikasikan tindakan beliau seperti peribahasa Melayu menyatakan ‘menegakkan benang basah’. Tetapi jika Mukhriz tidak dipecat daripada Umno, adakah beliau akan mengubah nadanya? Jadi, ini bermakna ia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kesetiaan kepada parti sebaliknya hanya untuk kepentingan peribadi.

Muhyiddin juga lebih mementingkan keperluan politiknya sendiri berbanding kepentingan negara. Pada masa lalu, beliau berkata beliau mendahulukan kepentingan Melayu dan semua yang lain sebagai perkara ke-2. Sekarang, beliau berkata PAS perlu bekerjasama dengan DAP untuk membantu menghancurkan Umno. Muhyiddin juga menyatakan tanpa bantuan DAP, PAS tidak dapat memenangi banyak kerusi.

Bagaimana Muhyiddin boleh mengharapkan PAS dan DAP untuk sekali lagi ‘tidur sebantal’ sedangkan isu yang menyebabkan perpecahan masih berlarutan? Adakah Muhyiddin menyatakan PAS harus menarik balik rang undang-undang pindaan Mahkamah Syariah atau menyatakan DAP perlu menerimanya? Ia harus menjadi satu daripadanya atau yang lain bagi PAS dan DAP untuk kembali bergabung.

Oleh Salleh Said Keruak,
Menteri Komunikasi dan Multimedia.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...