Isnin, 3 Oktober 2016

ADAKAH PAS SANGGUP BERSEKONGKOL DENGAN DAP DAN PAN ????

Adakah PAS cuba ‘jual mahal’ untuk menyertai usaha pembangkang mahu merapatkan saf dan menewaskan Umno-BN dalam pilihanraya umum ke-14 menggunakan strategi ‘satu lawan satu?

Pada asasnya PAS setuju untuk berunding dengan mana-mana parti pembangkang asalkan matlamatnya untuk menundukkan Umno-BN boleh tercapai.

Bagaimanapun PAS mahu persefahaman dan kerjasama sesama pembangkang kali ini berlaku mengikut adab dan pendekatan yang lebih telus dan bersopan dan tidak berakhir dengan pengumuman ia ditendang keluar sekali lagi. 

Pengalamannya bertahaluf siyasi dengan DAP amat memedihkan. Setelah mengkerdilkan monopoli kuasa Umno-BN dan yakin sokongan rakyat bukan Melayu padanya semakin kukuh, DAP menunjukkan belangnya pada PAS.


PAS sebagai sebuah parti Islam, merukuni soal ‘sami’na wa atho’na’ (kami dengar dan kami taat) kepada pemimpin. Justeru apabila pemimpinnya diperlekehkan oleh DAP secara terbuka, PAS secara lumrah memberikan reaksi.

DAP mengisytiharkan bahawa Pakatan Rakyat sudah mati. Ini semua, hujahnya, kerana gara-gara PAS yang banyak mengambil tindakan bersendirian dan ini menyukarkan ia bekerjasama dengan PAS.

PAS pun bertindak balas. Ia berfatwa tidak boleh lagi bertahaluf siyasi dengan DAP. Maka tinggal PKR berusaha merapatkan kembali hubungan DAP-PAS. Namun sedihnya, PKR sendiri mengumumkan beberapa kali ia dikhianati PAS.

Sebagai sebuah institusi politik, PAS tahu ia perlu bekerjasama dengan pembangkang lain. Sebab itu ia memilih Parti Ikatan Rakyat atau Ikatan sebagai teman kongsi politik baru. Walaupun ia parti kecil, itu adalah satu permulaaan. 

Seiring dengan keangkuhan DAP itu, PAS juga diterjah oleh ahli-ahli kanan parti itu yang keluar parti dan menubuhkan parti baru yang dipanggil Parti Amanah Negara atau Amanah.

Cogan politik Amanah ialah untuk mengganti fungsi PAS sebagai sebuah parti berideologi Islam dalam kelompok pembangkang. Tindakan itu menyebabkan kesedihan dan kekecewaan PAS. 

Mana pergi semangat juang pemimpin Islam dalam Amanah jika ia bermula dengan niat mahu membinasakan PAS dan menolaknya keluar dari senario politik Malaysia?



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...