Selasa, 26 Januari 2016

Dapur rumah dihanyut ombak

KUALA NERUS: "Dapur rumah tiba-tiba dipukul ombak dan hanyut. Saya bersama isteri serta anak perempuan berlari sekuat hati, tinggalkan rumah," kata seorang penduduk di Kampung Mengabang Telipot di sini. 

Abdullah Mat Isa, 52, berkata demikian ketika menceritakan kejadian air pasang besar yang meranapkan kediamannya yang diduduki sejak 19 tahun lalu. 

"Sebelum ini memang selalu angin kuat dan ombak besar melanda kampung ini, cuma yang berlaku semalam sangat menakutkan dan sangat luar biasa. Angin mula kuat dan ombak besar mulai pukul 5 petang semalam dan kemuncaknya dapur rumah saya dihanyutkan ombak pada 9.30 malam. "Kami terus berlari meninggalkan rumah dan menumpang di rumah ibu di Kampung Padang Kemunting, tidak jauh dari sini untuk menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan rumahnya di sini hari ini. 


Sementara itu tinjauan di sekitar kawasan Mengabang Telipot mendapati beberapa bahagian rumah penduduk musnah dipukul ombak dan ada yang berisiko runtuh sekiranya angin kuat masih berterusan dalam tempoh terdekat. 

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, Leftenan Muda (PA) Ahmad Kamal Hakim, pihaknya akan menempatkan 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk memantau perkembangan di kawasan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. 

"Kami sudah mengarahkan anggota supaya meronda dan bersiap sedia di kawasan berkenaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. "Selain itu, semua penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai diminta melakukan persiapan termasuk mengemas dokumen penting jika keadaan memerlukan mereka berpindah," katanya. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...