Jumaat, 29 Januari 2016

Malaysia telah menjadi sasaran pengganas ???

PETALING JAYA: Derma politik RM2.6 bilion yang dibuat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sebahagian daripada inisiatif Arab Saudi untuk membiayai pemimpin-pemimpin Islam yang mengamalkan kesederhanaan dalam perjuangan mereka menentang ekstremisme, menurut seorang wartawan yang berpangkalan di Britain.

Con Coughlin, kolumnis untuk The Telegraph berkata berdasarkan hasil siasatan Peguam Negara baru-baru ini, kesimpulan dapat dibuat ke atas wang yang didepositkan ke dalam akaun Perdana Menteri itu di mana ia mungkin menjadi bukti yang mendedahkan perang rahsia yang dilancarkan oleh Arab Saudi terhadap ekstremisme Islam.

"Sejak kemunculan kumpulan Negara Islam di Syria dan Iraq, pengkritik sayap kiri seperti pemimpin parti Buruh Jeremy Corbyn secara konsisten menuduh Arab Saudi membiayai Isil dan kumpulan ekstremis lain.


"Tetapi apa yang ditunjukkan dalam siasatan Najib itu dalam kes itu adalah sebaliknya, dan bahawa, daripada membiayai kumpulan ekstremis, kerajaan Saudi secara senyap-senyap menyokong pemimpin Islam yang bersederhana di seluruh dunia sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk melawan ancaman global yang ditimbulkan oleh ekstremis yang dikaitkan dengan Islam," tulis beliau dalam ruangan pendapat pada Khamis.

Coughlin mendakwa derma RM2.6 bilion itu dibuat kepada Najib untuk membantu beliau memenangi pilihan raya umum 2013 kerana beliau telah mengambil pendirian yang berani menentang pelampau.

"Ada yang mempersoalkan mengapa Arab Saudi mempunyai minat dengan pilihan raya di negara bukan-Arab dengan jarak 3,000 batu jauhnya.

"Jawapannya terletak dalam percubaan Riyadh untuk mengekang pertumbuhan pelampau Islam di Asia Tenggara, di mana pada awal bulan ini pengganas Isil yang telah ditaja melakukan serangan di ibu negara Indonesia di Jakarta," kata Coughlin.

Beliau berkata Malaysia telah menjadi sasaran pengganas dengan Najib menjadi antara beberapa pemimpin yang telah dimasukkan ke dalam senarai sasaran.

Beliau juga memetik seorang pegawai Saudi yang mengatakan bahawa sumbangan politik adalah biasa 'untuk membantu kerajaan-kerajaan Islam yang bersederhana kekal berkuasa supaya mereka dapat memastikan keselamatan serantau dengan menangani ancaman pelampau'.

Coughlin berkata negara-negara Arab pro-Barat yang lain telah menerima sumbangan yang sama dari Arab Saudi termasuk Jordan, Maghribi dan Mesir, yang juga berjuang menentang ekstremisme.

Pada Selasa, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku jenayah dalam siasatan RM2.6 bilion dan SRC International.


Beliau juga mengesahkan bahawa wang tunai disumbangkan oleh kerabat diraja Arab Saudi dan RM2.03bil dari jumlah itu kemudian dikembalikan oleh Perdana Menteri kepada penderma Arab.

Sumber: KLIK SINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...