KUALA
TERENGGANU - Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda
RM10,000 terhadap pasangan suami isteri selepas mengaku salah mencuri 60 ekor
ayam.
Hussin Omar, 53, yang bekerja sebagai penternak
ayam dan Rosina Mohamad, 56, juga bakal berdepan hukuman penjara enam bulan
jika gagal membayar denda berkenaan.
Pasangan berkenaan melakukan kesalahan itu pada 22
Disember 2015 jam 3.30 pagi di Ladang Ayam Bukit Damad, Kampung Tiruk, Serada.
Berdasarkan fakta kes, pengadu, Mohd Fazil
Zulkepli, 30 yang juga pemilik ayam menyedari tindakan tertuduh selepas menemui
sebuah kenderaan pacuan empat roda berada dalam kawasan ladang itu.
Pengadu juga mendapati 60 ekor ayam bernilai lebih
RM600 telah dicuri dan membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Kampung
Banggol Tokku, Serada dan Kampung Wakaf Pak Ya mengaku bersalah ketika
pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 379 Kanun
Keseksaan kerana mencuri dan dibaca di bawah Seksyen 34 kanun yang sama.