LANCASHIRE - BRITAIN. Seorang wanita tidak pernah menyangka tahi lalat
yang dimilikinya sejak berusia 15 tahun adalah penyebab kanser.
Gemma Cottam, 25, dari Skelmersdale memuatnaik foto yang menunjukkan
parut kekal di mukanya bagi mengingatkan orang ramai agar tidak memandang
ringan mengenai tahi lalat.
Menurut Gemma, dia menyedari mengidap kanser atau melanoma tahap dua
selepas diberitahu doktor mengenai penyakitnya itu selepas menjalani pembedahan
membuang tahi lalat berkenaan untuk tujuan kecantikan.
"Ujian yang dilakukannya menunjukkan tahi lalat itu telah merebak
ke nodus limfa dan terpaksa menjalani pembedahan besar untuk merawatnya,"
katanya dipetik Mirror.uk
Gemma turut berkongsi gambar parut selepas pembedahan di laman
Facebooknya bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahaya tahi lalat.
"Ia adalah mengerikan tetapi itulah yang saya terpaksa hadapi
dan saya mahu meningkatkan kesedaran bahawa tahi lalat kecil boleh menjadi
kanser dan orang ramai tidak seharusnya mengabaikannya,” katanya lagi.
Gemma menjalani dua pembedahan sejak Oktober lalu dan pembedahan itu
turut menyebabkan kerosakan saraf yang menyukarkan dia bergerak serta
menghadapi masalah di telinga kiri, leher dan lengan kiri yang memaksanya untuk
menjalani fisioterapi bagi merawatnya.