Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan perlu diusir keluar dari negara ini berikutan kenyataan biadab yang mahu menukar Jalur Gemilang sekiranya pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Presiden Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM), A. Rahman Mahadi (gambar) berkata, kenyataan itu tidak boleh diterima sama sekali dan di luar batasan kebebasan bersuara yang tidak boleh lagi ditolak ansur.
“Tindakan segera perlu dikenakan dan sebaik-baiknya diusir atau dilucutkan kerakyatannya. Ini akan menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak biadab.
“Sekiranya tidak dikenakan tindakan, selepas ini lebih banyak lagi perkara sensitif akan dipermainkan tanpa rasa bersalah atau bertanggungjawab terhadap negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada Jumaat lalu, Manoharan dalam akaun Facebook miliknya menyatakan hasrat menukar Jalur Gemilang jika menang pilihan raya umum akan datang.
ADUN dari parti DAP itu juga menolak untuk mengibarkan Jalur Gemilang dalam kawasannya kerana mendakwa bendera itu kelihatan seperti Barisan Nasional berbanding Malaysia.
Tegas A. Rahman, Manoharan perlu membezakan perkara yang boleh dijadikan modal berpolitik kerana majoriti rakyat amat terkejut dengan sikap kurang ajarnya.
Beliau percaya kenyataan itu dikeluarkan setelah melihat tiada tindakan dibuat terhadap pihak yang menghina raja-raja Melayu, agama Islam, pejuang kemerdekaan dan mereka yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong.
“Tindakan usir juga perlu dikenakan terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mencetuskan kontroversi berhubung tragedi Bukit Kepong dan (Datuk S.) Ambiga yang menganjurkan perhimpunan haram Bersih 2,” katanya lagi.
Ujarnya, perkembangan seperti itu amat mengejutkan yang dikhuatiri generasi muda menjadikannya bahan ejekan dan tidak lagi menghormati perkara sensitif.
Tambah beliau, jika perkara sensitif tidak dipertahankan akan muncul lebih ramai pengkhianat negara yang tidak tahu bersyukur dengan keamanan sedia ada.