Selasa, 20 September 2011

Kerajaan Pusat timbang bina bangunan Persekutuan di Marang


Kerajaan Pusat sedia menimbang permohonan Umno Bahagian Marang agar dibina sebuah bangunan berharga kira-kira RM30 juta di Marang, bagi menempatkan pelbagai jabatan Kerajaan Persekutuan di daerah tersebut.



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Mohd Yassin memberi jaminan untuk mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dalam mesyuarat Kabinet di Kuala Lumpur, esok.


“Saya akan bawa permohonan ini ke mesyuarat Kabinet dan jika tidak ada halangan, ia (cadangan ini) akan dilaksanakan dalam fasa kedua Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10),” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri Parlimen Marang dan perasmian Pasar Baru Kedai Buloh, di Kampung Kedai Buloh petang ini.

Lebih 10,000 orang termasuk pemimpin masyarakat, peniaga dan penduduk di sekitar kawasan tersebut membanjiri perkarangan Pasar Baru Kedai Buloh bagi meraikan kedatangan pemimpin nombor dua negara itu.


Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan pempinan Umno bahagian Marang.

Terdahulu dalam ucapannya, Ketua Umno Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, meminta Kerajaan Persektuan agar membina sebuah bangunan bagi menempatkan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan, bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan jabatan berkenaan.

“Pada masa ini jabatan Persekutuan terpaksa menyewa bangunan lain dan kedudukannya berselerak, menyebabkan orang ramai sukar untuk berurusan dengan agensi Kerajaan Pusat,” tambah beliau.

Sebagai reaksi kepada permohonan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, memberi jaminan ia akan dibincang di Kabinet dan pihaknya tidak menghadapi masalah untuk memenuhi permintaan itu bagi kepentingan rakyat.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta penduduk negeri ini supaya bersyukur dengan pelbagai kemudahan yang disediakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi kepentingan mereka.


Beliau berkata, Kerajaan BN telah melakukan pelbagai projek dan program untuk kemudahan rakyat, tidak seperti pembangkang yang memerintah beberapa negeri seperti Kelantan dan Kedah.

Katanya, Kelantan sudah 20 tahun diperintah oleh Pas, tetapi apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri untuk membela nasib rakyatnya, sedangkan negeri itu kini merupakan negeri yang paling tinggi mempunyai penduduk miskin di negara ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...