Rabu, 7 September 2011

Khairy sahut cabaran debat dengan Timbalan Presiden PAS


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyahut cabaran PAS untuk berdebat secara terbuka mengenai isu siapa yang layak digelar pejuang kemerdekaan negara.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau menerima jemputan yang dipanjangkan oleh kerajaan negeri Kelantan untuk berdebat dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mencetuskan kontroversi berkenaan. “Saya sudah terima jemputan untuk berdebat dengan Mat Sabu di Balai Islam Lundang Kota Bharu.

Saya akan berada di sana,” katanya menerusi mesej Twitter semalam dan berkata beliau tidak gentar walaupun terpaksa bertandang ke kubu kuat parti itu. Khairy berkata, walaupun di gelanggang lawan, sama ada Mohamad atau Datuk Husam Musa (Naib Presiden PAS) beliau tetap akan hadir. 

“Masa lawan Husam dulu tiga ribu penyokong PAS bersorak. Ia okey. Tak payah cari gelanggang berkecuali,” katanya kepada BERNAMA.

Semalam, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesyorkan debat PAS-UMNO berhubung kontroversi tragedi Bukit Kepong dan isu siapa pejuang kemerdekaan negara bagi membolehkan rakyat sendiri membuat penilaian.

Di JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Johor sedia menyertai debat secara terbuka dengan Khairy demi mempertahankan kenyataan mengiktiraf Mat Indera yang mengetuai gerombolan pengganas komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan negara.

Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat, menawarkan diri mewakili Mohamad yang mengeluarkan kenyataan berkenaan dan merasakan beliau calon sesuai untuk berbuat demikian kerana tragedi itu berlaku di Johor.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...