Ahad, 20 Ogos 2017

MAHATHIR UMPAMA BOTOL MINERAL KOSONG ???

Bagan Serai, 19 Ogos — Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan anggota parti supaya tidak menjadi seperti botol air mineral yang dibuang selepas ia kosong.
Timbalan Perdana Menteri berkata botol mineral kosong itu ibarat seseorang yang tidak lagi mempunyai jawatan akhirnya dilupakan kerana perbuatannya sendiri.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid mahu anggota parti menjadi seperti gelas yang disimpan rapi di dalam almari walaupun setelah air di dalamnya habis.
“Air di dalam (botol atau gelas) umpama jawatan dan pangkat. Jadilah tokoh walau tidak ada jawatan orang masih guna pakai seperti gelas yang mana jika air habis (gelas) disimpan di dalam almari dan bukan seperti botol air mineral apabila habis orang buang.
“Jadilah seperti bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein walaupun tempoh kepimpinannya sebagai perdana menteri terlalu singkat namun, orang masih kenang.

“…Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj sebagai tokoh walaupun tidak ada jawatan, orang masih hormat.
“Jangan jadi botol air mineral 22 tahun, saya tak sentuh sesiapa yang masih hidup atau mati, tetapi orang campak,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Larut di sini, hari ini.
Selain itu, Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Umno berkata semua pihak perlu memahami konsep setiap yang datang akan pergi tetapi bukan bermakna mereka dilupakan.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan anggota parti bahawa tiada istilah penat atau tidak cukup rehat dalam politik bagi mengelak mereka dicantas pihak lain.
“Dalam politik jangan ada istilah penat, kalau penat ramai orang tunggu untuk ambik alih, jangan mengadu banyak kerja, banyak lagi orang nak ambil alih, jangan mengadu tak cukup rehat ramai orang nak ambil alih,” katanya.
Ahmad Zahid memberikan contoh beberapa pemimpin termasuk dirinya dan Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Hamzah Zainudin mampu berada di kedudukan hari ini kerana mereka mempunyai semangat juang yang tinggi.
“Sewaktu saya jadi Ketua Pemuda Umno Perak, Hamzah adalah ketua penerangan saya, manakala arwah Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar bendahari. Oleh kerana adanya daya tahan, daya juang dan daya saing, kami berada di pentas ini,” katanya. — Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...