KUALA LUMPUR – Individu yang mengelar dirinya sebagai Raja Bomoh Malaysia, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin berkata akan mengadakan ‘ritual khas’ bagi membuang semua hantu dan makhluk halus yang dikatakan mendiami banglo mewah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Ibrahim ketika menghubungi SuaraTV sebentar tadi berkata, beliau dan anak muridnya akan mengadakan ritual khas tersebut di hadapan rumah Guan Eng dalam masa terdekat.
“Anak murid Datuk maklumkan rumah Ketua Menteri Pulau Pinang itu mempunyai puaka dan berhantu atas sebab itu Datuk bersedia untuk membantu beliau membuang semua makluk halus itu.
“Insyallah dalam masa terdekat ini, Datuk dan beberapa orang pembantu silat ghaib akan ke Pulau Pinang untuk mengadakan ritual buang hantu di depan rumah ketua menteri” katanya sebentar tadi.
Pengguna media sosial sebelum ini menyindir banglo mewah Guan Eng itu berkemungkinan berdepan dengan gangguan makhluk halus sehingga menyebabkan pemilik asal terpaksa menjualnya dengan harga murah dari harga pasaran iaitu RM2.8 juta berbanding nilai pasaran sekitar RM6-6.5 juta.
Ketika ditanya mengenai skandal banglo tersebut, Ibrahim bagaimanapun enggan memberikan sebarang ulasan.
“Isu lain Datuk tak nak campur, biarlah kerajaan dan pihak berkuasa yang uruskan… Datuk hanya nak bantu Ketua Menteri halau hantu yang ada dirumah tersebut, itu sahaja” katanya ringkas.
Terdahulu Ibrahim bersama empat pengikutnya termasuk seorang wanita membaca surah Yassin dan berdoa agar cuaca panas dikurangkan sebelum memecahkan lima biji tembikai dengan menghempaskannya ke tanah.
Ekoran itu Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin segera menyanggah ritual tersebut sambil menasihati umat bukan Islam untuk tidak mengaitkan perbuatan mereka dengan agama Islam.