KUALA TERENGGANU - Seramai 15 Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Barisan Nasional secara sukarela menandatangani surat sokongan
bagi mempertahankan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Ahmad Razif berkata, selain serahan surat, kesemua
ADUN berkenaan turut berikrar memberi sokongan ikhlas kepada beliau untuk
meneruskan kepimpinan di negeri ini.
"Alhamdulillah. Mereka tanpa disuruh telah
menandatangani surat sokongan dan menyerahkan kepada saya sejak semalam dan
berikrar secara verbal (lisan).
"Dalam soal sekarang ini, saya sebagai Menteri
Besar tidak mampu melaksana dalam keadaan kritikal terutama dari segi
permasalahan politik negara ini. Maka, yang perlu kita buat ialah solidariti
dan permuafakatan," katanya di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau turut memuji tindakan Presiden
PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengambil pendirian berkecuali dalam isu
usul undi tidak percaya yang disuarakan ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said
semalam. - K! ONLINE