KUALA LUMPUR – Bekas ahli UMNO, Anina
Saadudin menyindir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana takut untuk
bercakap benar.
Katanya, adalah sesuatu yang sia-sia
dalam menggunakan nikmat yang diberikan Allah sekiranya menjadi pemimpin yang
takut berkata benar demi menjaga pangkat dan kuasa.
“Jika anda berada dalam kerajaan, parti
pemerintah atau menjadi Presiden Parti Islam tetapi anda takut berkata benar
demi pangkat, kuasa, kemasyhuran, maka sia-sialah nikmat Allah kepada anda.
“Jangan kemukakan alasan kepada saya,
tetapi jawablah di hadapan Ya Rabbul Jalil,” katanya dalam satu kenyataan hari
ini.
Dalam pada itu, Anina menegaskan dia
tidak takut kepada pemimpin UMNO termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak.
Baginya, dia hanya takut kepada Allah
dan tidak akan sesekali berundur daripada perjuangannya demi bangsa, agama dan
negara.
“Simpan sahaja sijil dari Mesir,
Madinah, Morocco, Harvard, Oxford atau dari bulan sekalipun. Simpan sahaja
pengalaman dalam Parlimen walau berpuluh tahun anda mereput di dalamnya.
“Simpan sahaja pangkat Tan Sri, Datuk
Seri, Datuk, Puan Sri, Datin Seri, jangan bangga di hadapan saya jika anda
pendusta dan pengecut untuk tanahair sendiri.
“Simpan sahaja jubah, serban, tudung
beribu ringgit mahupun janggut jika anda mendustai tanahair sendiri,” ujarnya.
Sebelum ini, Hadi menolak Deklarasi
Rakyat yang bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Hadi berpandangan tindakan kumpulan
yang mengadakan Deklarasi Rakyat bagi menyingkirkan Perdana Menteri baru-baru
ini sebagai sia-sia.
Menurutnya, untuk menjatuhkan seseorang
Perdana Menteri, proses demokrasi diperlukan iaitu melalui pilihan raya atau
usul undi tidak percaya.
Hadi pernah dilaporkan sebagai berkata
PAS bersedia bertindak sebagai penasihat membantu BN mentadbir negara.