KUALA LUMPUR: Presiden PAS,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang TIDAK
AKAN MEMPERTAHANKAN KERUSI DUN RHU RENDANG
pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebaliknya hanya akan bertanding di
kerusi Parlimen.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung
PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang memberitahu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man dan beliau sendiri juga hanya akan bertanding di kerusi
Parlimen.
"Nama-nama calon sudah
dimuktamadkan dan PAS akan bertanding tidak kurang 160
KERUSI PARLIMEN pada PRU-14 dan kita sedang
memuktamadkan beberapa kerusi membabitkan pihak dalam gabungan Gagasan
Sejahtera.
"Tidak lebih 10 calon akan
bertanding di kerusi Parlimen dan DUN. Untuk makluman presiden dan timbalan,
termasuk saya akan bertanding di parlimen sahaja. Calon muda saya boleh sahkan
untuk dewan pemuda, ketua, timbalan dan naib ketua pemuda pusat bertanding
sebagai calon PRU," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini,
hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa PAS
akan mengumumkan calon-calon yang akan bertanding pada PRU14 di setiap negeri
malam esok kecuali Kelantan, yang diadakan di Markas PAS Taman Melewar, Gombak.
Tambah Takiyuddin, Kelantan meminta
penangguhan untuk memperkemaskan senarai mereka, manakala Sarawak diumum pada
21 April dan Sabah pula keesokan harinya oleh Abdul Hadi.
"Senarai calon PAS dan Gagasan
Sejahtera yang kita putuskan akan diumumkan malam esok oleh pesuruhjaya pas
negeri (masing-masing) kecuali Pahang. Datuk Tuan Ibrahim yg umumkan,"
ujarnya.
Takiyuddin kemudiannya mengakui PAS
adalah parti miskin namun begitu bertuah kerana memperolehi sumbangan kewangan
daripada pihak luar - pastinya halal - untuk menampung operasinya sepanjang
pilihan raya berlengsung.
Namun beliau menegaskan, PAS tidak
pernah menerima dana daripada Umno Barisan Nasional (BN), seperti yang
digembar-gemburkan pihak berkepentingan.
PAS juga menerima yuran ahli setiap
tahun dan yuran penyertaan muktamar, beritahu Takiyuddin.
“Ada ahli dan penyokong PAS beri
sumbangan sekecil-kecil RM10 setiap bulan dan sebesar-besar jumlah. Kita tidak
semak dia orang PAS atau bukan, asalkan dia bagi sumbangan dengan ikhlas.
“Tetapi saya nak tegaskan kita tidak
pernah terima sumbangan daripada Umno. Kalau mereka bagi pun kita tidak akan
ambil," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas
kenyataan Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar yang mempertikaikan kemampuan
kewangan PAS untuk menampung perbelanjaan 160 calon pada pilihan raya kali ini.
Takiyuddin menjelaskan, PAS mempunyai
sejuta ahli dan jika setiap ahlinya menyumbang sebanyak RM35 seorang, maka
parti itu berjaya mengumpul sebanyak RM35 juta.
Mahfuz mendakwa, deposit calon dan
bahan kempen sahaja mencecah RM2.4 juta, mengambil kira deposit sebanyak
RM15,000 untuk satu kerusi Parlimen.
Malah katanya, pihak yang menuduh
bahawa wang yang PAS terima itu mempunyai berunsur rasuah, maka disarankan
untuk membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM).
"Kalau ada bukti atau duit tu
berunsur rasuah boleh lapor SPRM. Termasuk yang terima RM90 juta, kalau anda
rasa betul laporlah. Kami takkan saman sebab menyusahkan. Mereka yang tuduh
kemukalah bukti," tegasnya.
PAS sebelum ini dikaitkan menerima wang
sebanyak RM90 juta yang dimasukkan ke akaun pemimpin atasan mereka sebagai
usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menarik kepemimpinan PAS
untuk menyokong BN dan Umno.
Namun ia dinafikan Datuk Seri Abdul
Hadi Awang sehingga memfailkan saman fitnah terhadap Editor Sarawak Report,
Claire Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April tahun lalu.
Sumber: KLIK DISINI