Khamis, 12 April 2018

PAS MANSUH LAFAZ BAI'AH TALAK TIGA UNTUK CALON PRU14


KUALA LUMPUR: PAS telah menetapkan untuk TIDAK MELAKSANAKAN LAFAZ BAI'AH TALAK TIGA bagi calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di seluruh negara termasuk di Kelantan, namun mengekalkan LAFAZ BAI'AH TAAT SETIA KEPADA PARTI.

Perkara itu disahkan sendiri Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas selesai mesyuarat PAS Pusat, di ibu pejabatnya, semalam.

Terdahulu, media melaporkan Abdul Hadi berkata sumpah bai'ah cerai talak tiga bagi calonnya di Kelantan akan diteruskan lagi bagi memastikan tiada peristiwa wakil rakyatnya lompat parti.

"Baiah semua, seluruh negara sama. Majlis Syura Ulama PAS sudah buat keputusan satu baiah.

"(Talak tiga) Tidak ada, itu tambahan negeri masing-masing (sebelum ini), (sekarang) tidak ada.


"Itu khusus berlaku di Kelantan dulu, tidak ada (lagi) (sekarang)," katanya kepada media.

Februari lalu, Majlis Syura Ulama (MSU) PAS sudah memutuskan untuk mengekalkan sumpah bai'ah ke atas calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang. 

Bagaimanapun, Setiausaha MSU, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh berkata keputusan berhubung sumpah bai'ah talak tiga akan mengikut keperluan dan situasi politik negeri-negeri tertentu.

Mengulas lebih lanjut perkara itu, Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad berkata presidennya sudah menjelaskan perkara tersebut semasa mesyuaratnya (semalam), dan kenyataannya itu sudah disalah erti media.

Jelasnya, sumpah bai'ah talak tiga tidak akan dilaksanakan di semua negeri seperti yang telah diputuskan sebelum ini, namun mana-mana negeri yang merasakan perlu untuk melaksanakan sumpah tersebut mesti mendapatkan kelulusan daripada Majlis Syura Ulama (MSU) terlebih dahulu.

"Dia tidak sebut begitu, kalau ikut tadi. Tadi (mesyuarat) dia kata kepada negeri-negeri terpulang. Umumnya kita takde baiah itu."

"Tidak ada bincang soal baiah, sebab umumnya dikeseluruhannya tidak ada talak tiga. Tapi kalau ada setengah negeri yang nak buat itu bermakna kena minta kelulusan Majlis Syura Ulama. Itu maksud Tok Guru (Abdul Hadi). Umumnya tidak ada," ujarnya pula.

Isu lafaz bai'ah cerai talak tiga PAS menjadi perdebatan secara terbuka selepas beberapa pimpinan kanan di Kelantan bertindak keluar parti.

Namun sehingga kini status pengesahan lafaz berkenaan tidak dapat disahkan sama ada jatuh talak atau tidak terhadap isteri masing-masing.

Lafaz itu dibuat setiap wakil rakyat PAS di negeri itu sejak 2004 ketika zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan diteruskan sehingga pilihan raya lalu.

Antara wakil rakyat PAS yang melanggar bai'ah tersebut di Kelantan ialah Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli dan ADUN Salor Husam Musa yang kini bersama Amanah.

Sementara itu, mengulas mengenai salah faham yang timbul, Idris 'menasihatkan' media untuk merujuk mereka terlebih dahulu sebelum melaporkan sesuatu perkara yang tidak jelas sehingga menimbulkan salah faham.

"Kita harapkan benda benda yang melibatkan (penting) sepatutnya mereka reconfirm balik. 

"Kadang-kadang mereka pun tidak faham terma atau pun maksud yang dimaksudkan Tok Guru itu. 

"Sepatutnya sebagai wartawan terutama isu yang agak sensitif ini biar kita sahkan balik, adalah lebih baik daripada kita sebar dulu kemudian nak tarik balik," tegas beliau.

Sumber: KLIK DISINI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...