KUALA LUMPUR: Selebriti kontroversi, AZWAN ALI, MENGESAHKAN AKAN BERTANDING SEBAGAI CALON
BEBAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)
demi menentang abangnya yang juga Timbalan Presiden PKR, DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI.
Azwan ketika dihubungi, mendakwa keputusan
bertanding itu dibuat susulan sokongan banyak pihak, terutama peminat setianya
dalam memastikan perjuangan menjatuhkan Mohamed Azmin, menjadi kenyataan.
Beliau yang dikenali sebagai Diva AA,
mendakwa akan bertanding di mana sahaja, kerusi Parlimen atau DUN yang akan
ditandingi Mohamed Azmin.
"Saya berjuang atas prinsip dan
perjuangan untuk menjahanamkan Azmin Ali. Ini adalah satu tugasan dan amanah
yang mungkin orang lain tak mampu nak buat.
"Walaupun dikecam menjatuhkan
darah daging sendiri, terpulanglah, kerana saya lebih mengenali pengkhianat
bangsa ini," katanya dipetik NSTP hari ini.
Azwan antara individu yang lantang
mengecam Mohamed Azmin, selain pernah membuat laporan berhubung dakwaan salah
guna kuasa dan rasuah kerajaan Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) pada Disember tahun lalu.
Mohamed Azmin adalah penyandang kerusi
Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa yang dimenanginya sejak 2008.
Mengulas lanjut, Azwan juga tidak
menolak menggunakan strategi bersifat peribadi bagi menewaskan Mohamed Azmin,
dengan mendakwa beliau menyimpan banyak rahsia abangnya.
"Dia pemimpin yang penuh aib,
paling munafik dan teruk dalam sejarah Selangor dan perlu dihapuskan kerjaya
politiknya menjelang PRU-14.
"Kalau orang masih mahu pangkah
Azmin Ali, teruskanlah tetapi tunggulah bala besar daripada Allah,"
katanya.
Mengulas mengenai wang yang akan
digunakan pada PRU-14, Azwan menjelaskan tidak bergantung dengan dana daripada
mana-mana parti politik.
"Saya bukan nak cakap besar, tapi
duit saya berlambak dalam bank. Andainya tewas teruk sekali pun, wang
pertaruhan itu saya anggap sebagai sedekah kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan
Raya).
"Kalau tewas pun tak apa. Saya
tetap tidak berkudis dan tak akan menyesal kerana sekurang-kurangnya, peratus
undi dia akan terjejas.
"Tapi jika menang, saya akan buat
kenduri doa selamat terbesar dengan rakyat kawasan saya akan dapat merasa
rendang saya secara percuma, dan tidak akan menjadi wakil rakyat yang hanya
menjenguk kawasan ketika PRU," katanya.