KOTA BHARU –
Umat Islam termasuk ulama perlu bermuhasabah diri bagi
memperkasa perpaduan ummah yang semakin rapuh kerana pendekatan dakwah
berbeza, kata Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia Datuk Seri Abdul Hadi
Awang.
Abdul Hadi,
yang juga presiden PAS, berkata ulama generasi kini masih sibuk dengan
masalah khilaf (perbezaan) dalam agama sehingga menyebabkan
berlakunya pertembungan fahaman dan perbalahan.
“Hari ini masalah
khilafiah menyebabkan tok guru pondok berbalah mengenai
beberapa perkara dalam amalan agama sedangkan masalah umat Islam yang lebih
besar seperti dalam bidang politik dan ekonomi dilupakan.
“Pertembungan
yang berlaku akibat gerakan tajdid (pembaharuan) yang
dilakukan mengikut generasi masing-masing sedangkan orang zaman dahulu tak
berbalah dan berpecah. Sekarang orang berbalah kerana mereka tak mahu kaji
sejarah,” katanya ketika berucap merasmikan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan
Ummah Rantau Asia kali keempat di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV di
sini, hari ini.
Abdul Hadi
berkata ada juga umat Islam yang terlalu keras dalam pendekatan mereka sehingga
mencetuskan peperangan yang hanya menguntungkan segelintir
pihak berkepentingan.
“Kita hadapi
masalah pendekatan. Ada yang tasyaddud (melampau) dan nak berperang sahaja
(dalam pendekatan mereka). Akhirnya berperang sesama sendiri sehingga
menyebabkan perang proksi terutama di Asia Barat. Mereka (umat Islam) berperang
sesama sendiri dan membeli senjata dari barat. Barat dapat duit tapi kita
yang kehilangan nyawa,” katanya.
Dalam pada
itu, Abdul Hadi berkata umat Islam juga berdepan serangan media oleh barat
sehingga mencetuskan Islamofobia dalam kalangan masyarakat bukan Islam
yang bertujuan menakut-nakutkan mereka dengan ajaran Islam.
Katanya
Islamofobia ini boleh dihapuskan jika masyarakat bukan Islam berlapang
dada dan membuat perbandingan antara kekerasan yang pernah dilakukan oleh
segelintir masyarakat Islam dengan gerakan pelampau lain. – BERNAMA