Mahathir
Perlu Jelaskan Pendirian Mengenai Anwar.
Tun
Dr. Mahathir Mohamad perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada
beliau masih kekal dan konsisten dengan kenyataannya bahawa Datuk Seri Anwar
Ibrahim telah melakukan perbuatan di luar tabii seperti
didakwanya pada 1998, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Banyak
persoalan berlegar dalam kepala orang ramai. Pertamanya, adakah Dr. Mahathir
masih kekal dengan kenyataan lamanya pada 1998 yang dia tuduh Anwar melakukan
perbuatan luar tabii.
“Sehinggakan
dia kata Anwar ini pemimpin yang tidak ada maruah, oleh itu tidak boleh
memimpin negara.
“Semua
itu kini menjadi persoalan besar rakyat, sama ada tuduhan itu tidak betul pada
asalnya, ataupun beliau sanggup korbankan prinsip lamanya (demi politik),” katanya ketika ditemui media
pada Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Dalam sidang
media pada 22 Sept 1998 yang dibuat Dr. Mahathir, perdana menteri keempat itu
mendakwa Anwar terlibat dalam perbuatan liwat dan seorang peliwat tidak layak
menjadi pemimpin negara.
Najib
menjelaskan, selagi semua itu tidak dijawab Dr Mahathir, orang ramai akan
sangsi dan bahawa ini adalah hanya mainan dan sandiwara politik yang tiada
keikhlasan.
Dalam pada
itu, perdana menteri berkata walaupun ada segelintir pihak yang tidak senang
hati dengan UMNO dan kerajaan, pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan untuk
membawa negara ke tahap yang membanggakan.
Jelasnya,
situasi ini adalah lebih baik berbanding kem pembangkang yang masih tidak jelas
dan kelam- kabut dalam menentukan siapa yang mempunyai kuasa penentu manakala
hala tuju politik yang masih tidak jelas.
Mengenai
sambutan Rumah Terbuka hari ini, Najib yang juga presiden UMNO berkata sambutan
luar biasa daripada masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan adalah satu tanda
keyakinan berterusan kepada parti dan kerajaan.
“Mereka
datang berpusu-pusu dari pagi dan ingin bersama UMNO. Satu gambaran jelas
hubungan parti dan rakyat yang tiada tembok pemisah.
“Ini
kerana mereka tahu mereka boleh bersalam-salaman, berselfie dengan pemimpin
UMNO. Sebagai pemimpin, kita ingin lebih rapat dan mesra dengan rakyat,” katanya. – BERNAMA