Isnin, 12 September 2016

Kerapuhan Kuasa Politik Negara Mengundang Campur Tangan Asing

Memerhatikan pergelutan politik yang semakin memuncak pada waktu dan ketika ini membuatkan negara kita berada dalam keadaan yang sangat rapuh.

Fasa yang sangat rapuh ini memberi peluang buat orde baru dunia dalam kes ini (Amerika Syarikat dan China) menyelinap masuk ke dalam hal ehwal dalaman politik negara dan mengukuhkan lagi cengkaman mereka melalui proksi-proksi politik.

Proksi-proksi ini terbahagi kepada dua. Yang satu mahu mengekalkan kuasa politik mereka, dan yang satu mahu menjatuhkan lawan politik mereka. Walau begitu, kedua-duanya ada satu ciri persamaan iaitu dengan memohon bantuan kuasa asing.


Dalam konteks ini, kita boleh menyoal tahap kesetiaan mereka kepada negara. Adakah survivaliti politik adalah prioriti utama jika mahu dibandingkan dengan kedaulatan negara?

Dengan meneliti pandangan umum proksi-proksi politik ini dalam isu-isu besar negara seperti kes salah guna kuasa dan ketirisan projek 1MDB, perjanjian berat sebelah TPPA (Trans-Pacific Partnership Agreement) membawa agenda liberal demokrasi, projek hegemoni kerajaan China melalui (OBOR – One Belt One Road), isu perebutan kawasan bertindih Laut China Selatan, isu keselamatan sempadan di Sabah, ancaman separatist yang mahu memisahkan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia, isu ekstremis ISIS, dan kenyataan berani pihak Evangelis Kristian dalam menubuhkan sebuah negara Kristian melalui acara seperti (Malaysia for Jesus, Johor for Jesus), isu Rang Undang-Undang 355 mengenai pemerkasaan makhamah syariah, hak golongan LGBT dan murtad dan lain-lain lagi kita boleh memerhatikan dengan jelas ke arah mana proksi-proksi ini menghalakan kiblat mereka?

Proksi-proksi ini secara sedar mahupun tidak sedar sedang meruntuhkan asas-asas kenegaraan Malaysia, institusi (Islam, Melayu dan Raja) seperti yang terkandung dalam Perlembagaan negara, dan mengkucar-kacirkan keharmonian antara kaum, yang sedia lama terbina atas dasar toleransi dan hormat menghormati asas-asas Perlembagaan dan secara automatik hak kerakyatan mereka terjamin dan dijamin.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab besar rakyat negara ini, tanpa mengira latar agama dan bangsa, dalam suasana politik yang kian serabut ini, membebaskan diri daripada proksi-proksi politik yang khianat dan rancak mengubah landskap sosiopolitik negara.

Rakyat harus bersatu hati menolak mana-mana proksi politik yang jelas sedang mengadaikan negara demi kelangsungan survivaliti politik mereka.

Sumber: 

Asyraf Farique
Penganalisis IRIS INSTITUTE



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...