Jumaat, 15 Julai 2016

Jabatan Imigresen.Memberi Ruang Pengganas Keluar/Masuk

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempersoalkan sama ada insiden berunsur pengganas seperti yang berlaku di sebuah kelab hiburan di Puchong, Selangor baru-baru ini disebabkan oleh gejala rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar menimbulkan persoalan itu dengan membangkitkan Laporan Ketua Audit Negara 2015 siri pertama yang melaporkan terdapat kelemahan dalam pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“MyIMMs iaitu sistem membantu pihak berkuasa mengawal mereka yang keluar dan masuk negara. Adakah kelompongan sistem ini yang akhirnya menyebabkan isu keselamatan negara terus membarah?

“Jika benar, maka perlu wujud kemahuan politik untuk melawan rasuah bagi mengelakkan krisis MyIMMs berulang kembali dan meletakkan kawalan keselamatan sempadan negara dalam risiko.

“Akibat daripada gejala yang tidak bermoral inilah yang mengakibatkan wujudnya individu yang berani menyemai benih berunsur keganasan,” dakwanya dalam satu kenyataan media berbaur politik hari ini.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dalam pada itu turut mempersoalkan sama ada tindakan Jabatan Imigresen cuma menamatkan perkhidmatan seramai 15 anggotanya manakala 37 yang lain dikenakan tindakan tatatertib.

“Apakah ini hukuman standard yang akan dikenakan kepada penjawat awam yang telah disiasat dan jaminan bahawa perkara yang sama tidak akan berulang?” katanya.

Polis pada 4 Julai lalu mengesahkan kejadian letupan bom tangan di sebuah pusat hiburan Movida di Puchong didalangi oleh kumpulan pengganas Daesh.

Beberapa individu yang duduk di bahagian luar pusat hiburan itu cedera kerana terkena letupan bom tangan yang dilempar dua suspek bermotosikal dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...