PETALING JAYA:
Penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar berpendapat wujud keraguan dalam tujuan utama Deklarasi Rakyat yang didukung Tun Dr Mahathir Mohamad
bersama pembangkang.
Selain mendakwa
gerakan tersebut sudah jauh
menyimpang dari tujuan asal untuk memperjuangkan integriti, Chandra
juga mempersoalkan rekod bersih Mahathir selama mentadbir negara sebelum ini.
"Sekiranya
(Mahathir) hendak pertingkatkan kesedaran masyarakat tentang isu integriti,
saya tidak nampak kejayaannya.
"Pertama
kerana beliau bergabung dengan pelaku politik yang lain dan ia seolah mengeruhkan lagi keadaan,
malah perjuangannya yang tidak jernih. Manakala keduanya, Mahathir ketika
menjadi PM selama 22 tahun dahulu, dalam soal mempertingkatkan integriti, membanteras rasuah dan
sebagainya, rekodnya juga tak begitu baik.
"Adakah Mahathir benar-benar memerangi
rasuah, banteras salah guna kuasa? Saya tidak
nampak buktinya. Saya merasa sedih. Kini beliau nak jadi jaguh hendak banteras
rasuah, nak mempertingkatkan integriti dan mungkin orang sudah tidak
percaya," katanya kepada Antarapos, dalam satu temubual yang diadakan
baru-baru ini.
Selepas
mengumumkan keluar dari Umno pada Februari lalu, Mahathir menggerakkan
Deklarasi Rakyat sebagai satu platfrom mengkritik kepimpinan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak dan kontroversi yang membabitkan beliau, antaranya
hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan RM2.6 bilion.
Chandra berkata
Deklarasi Rakyat sepatutnya tidak mencampur-adukkan
soal individu kerana ia akan
menyebabkan ramai pihak mempersoalkan gerakan itu sendiri.
Pengerusi
Yayasan 1Malaysia itu juga ditanya kewajaran sokongan pembangkang terhadap
gerakan Mahathir itu.
"Mereka
tidak seharusnya melihat ia (sebagai) sokong Mahathir atau tidak. Ini soal
integriti, 1MDB dan pengurusan serta pemerintahan negara. Jika mereka boleh
fokus, ia tak menjadi masalah," Chandra menambah.