Selasa, 3 Februari 2015

Palanivel perlu letak jawatan: Saravanan sedia tanding jawatan nombor 1 atau 2


GOMBAK, 3 Februari:  Naib Presiden MIC, Datuk S. Saravanan membayangkan kesediaan bertanding jawatan lebih tinggi pada pemilihan semula yang dirancang diadakan Jun depan.

Bagaimanapun keputusan itu hanya akan dimuktamadkan jika mendapat mandat majoriti dari ahli parti.

“Kalau penyokong saya mahu saya bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden MIC, mungkin saya akan buat nanti.

“Sekarang ini saya tidak putuskan lagi, tunggulah nanti. Tapi saya akan bertanding pada pemilihan semula nanti,” katanya yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.


Ditanya pandangan beliau mengenai pemilihan semula itu, Saravanan berkata beliau bersetuju sekiranya pemilihan semula semua jawatan dalam parti itu diadakan semula sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah dalaman parti.Description: http://avn.innity.com/rt/?cb=1419213403&a=1484

Menurut beliau, sungguhpun begitu ia bukanlah satu perkara mudah kerana parti itu mempunyai perlembagaannya sendiri.

Katanya, tidak ada mana-mana pemimpin MIC atau menteri yang dilantik boleh membuat sebarang keputusan untuk mengadakan pemilihan semula kerana setiap lantikan itu dibuat oleh perwakilan dan ia bukanlah bidang kuasa Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Walaupun saya setuju pemilihan semula diadakan tetapi ia perlu dilakukan mengikut prosedur yang betul dan jangan buat keputusan secara membuta tuli.

“Kita telah telah diberi mandat oleh wakil MIC dari 2013 hingga 2016.

“Apabila kita nak ubah perkara ini ia bukanlah bidang kuasa daripada ROS dan ia harus kembali kepada perwakilan untuk dapatkan mandat baru,” katanya yang ditemui pemberita pada sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves pada Selasa.

Mandat dari ahli itu jelas Saravanan termasuk mahu mengadakan semula pemilihan di semua peringkat, pemilihan sebahagian jawatan seperti arahan ROS atau kekalkan kepemimpinan sedia ada.

Selain itu beliau turut berharap sekiranya diadakan pemilihan semula ia perlu diadakan secara telus.

Mengulas sama ada perbincangan mengenai kemelut MIC ini diadakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membuat kunjungan mesra di Batu Caves, pagi tadi, beliau berkata ia sama sekali tidak disentuh.


“Tidak ada, kita hari ini sambut raya, tiada isu-isu politik kita bincang,” katanya turut memaklumkan ketidakhadiran Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam di Batu Caves hari ini adalah kerana beliau sibuk menguruskan perkahwinan anaknya dan tiada kaitan dengan kemelut MIC.

Sumber:therakyatpost
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...