KUALA LUMPUR, 31 Januari: Kenyataan
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berhubung jumlah wang
dana khas negeri itu akan menyusut ekoran kejatuhan harga minyak mentah dunia,
disifatkan sebagai mengelirukan.
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Nor
Hamzah berkata, kenyataan itu sangat mengelirukan dan rakyat Terengganu
mempunyai hak sepenuhnya ke atas wang berkenaan.
“Tidak semena-mena beliau membandingkan
wang dana khas itu dengan harga minyak dunia sedangkan dalam ucapan
pembentangan bajet baru-baru ini beliau secara jelas menyatakan tidak mahu
mengambil peduli sama ada wang berkenaan dipanggil royalti ataupun dana ihsan.
“Razif sepatutnya bimbang dengan
penyusutan jumlah perolehan wang itu dan berusaha sedaya upayanya
mempertahankan jumlah wang dana khas yang sepatutnya diterima oleh
pendudukTerengganu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, jika Razif beranggapan dana
khas itu bukan royalti, maka jumlah yang patut diterima rakyat Terengganu adalah
sama seperti tahun-tahun lalu dan bukannya lima peratus mengikut harga pasaran
semasa minyak dunia.
“Amat memalukan kerana Razif begitu
penakut untuk menyatakan penderiannya berkenaan isu royalti ini dan kelihatan
seperti ‘Pak Turut’, berlainan sekali dengan ketegasan Datuk Seri Ahmad Said,
mantan Menteri Besar Terengganu dahulu yang secara jelas meminta kembali status
royalti petroleum itu dikembalikan kepada Terengganu daripada kerajaan pusat.
“Lihatlah kelemahan pemerintahan Umno di
Terengganu yang mana rezab negeri tidak pernah ada walaupun mempunyai
pendapatan antara yang tertinggi di Malaysia,” ujarnya.
Mohd Nor berkata, keborosan, pembaziran,
penyelewengan dan salah urus berlaku sejak zaman dahulu lagi yang menyaksikan
laporan demi laporan ketidakcekapan pengurusan oleh Jabatan Audit Negara ke
atas kerajaan Terengganu.
“Contohnya, Lebuh raya Pantai Timur (LPT)
yang menjadi modal ‘sembang’ UMNO Terengganu turut menyaksikan kerugian yang
mengakibatkan projek LPT itu tertangguh lama sedangkan kontraktor yang terbabit
tidak dikenakan apa-apa hukuman,” katanya.
Sumber:rakyatpost