Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) mencadangkan supaya Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dihentikan kerana ia membazirkan wang negara.
Anwar menegaskan program tersebut perlu dihentikan bermula tahun depan sehinggalah satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang ditubuhkan selesai berbincang dan mengkaji semula mengenai isu berbangkit melibatkan PLKN.
"Kami cadangkan program tersebut dihentikan bermula tahun depan sebagai memberi laluan penangguhan untuk membenarkan satu PSC ditubuhkan bagi membincangkan dan mengkaji perkara berbangkit.
Anwar menyifatkan langkah itu mampu menjimatkan perbelanjaan negara serta mengurangkan defisit negara kepada sasaran tiga peratus.
"Defisit negara adalah masalah utama negara, kami (Pakatan Rakyat) merancang untuk mengurangkan defisit kepada tiga peratus pada 2013.
"PLKN adalah antara contoh pembaziran kepada negara setiap tahun," katanya lagi.
Negara telah mengalami defisit fiskal selama 15 tahun berturut-turut, malah agensi penarafan global Fitch Ratings baru-baru ini juga meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif ekoran hutang negara meningkat kepada 53.3% dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada penghujung tahun 2012 daripada 51.6% pada hujung tahun 2011 dan 39.8% pada hujung 2008.
PLKN adalah kursus latihan wajib selama tiga bulan di pusat latihan seluruh Malaysia bagi sesetengah daripada mereka yang terpilih apabila menamatkan pendidikan SPM atau berumur 17 tahun ke atas.
Tahun lepas PLKN mendapat peruntukan sebanyak RM700 juta daripada kerajaan pusat untuk menjalankan operasi melatih pelajar lepasan SPM.
Dalam belanjawan bayangan oleh Pakatan Rakyat (PR) yang bakal dibentangkan pada 20 Oktober nanti, Anwar menerangkan terdapat beberapa mekanisma dan cadangan lain yang akan dikemukakan untuk menangani masalah defisit negara.
Dalam perkembangan lain, Anwar juga memberitahu sekretariat PR akan sekali lagi menghantar pelawaan kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan dan menangani masalah ketirisan susulan pendedahan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012 baru-baru ini.
"Kita baru putuskan dalam Majlis Pakatan Rakyat dalam masa terdekat ini kami tulis kepada PM mencadangkan supaya ada perbincangan khusus untuk ini dan isu-isu yang kita sudah bangkitkan dalam usul cadangan pertemuan sebelumnya," katanya.
Tawaran tersebut adalah kali kedua selepas tawaran Anwar pada 31 Ogos lalu ditolak oleh Najib.
Anwar menyifatkan cadangan tersebut bertujuan menyelesaikan masalah negara melibatkan isu ekonomi dan juga keselamatan negara.