Ahad, 13 Oktober 2013

UMNO Tempa Sejarah Dengan Sistem Pemilihan Baru

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata rakyat hari ini dapat melihat UMNO telah menempa sejarah dalam sistem pemilihan parti yang baharu.
Katanya, sistem “electoral college” di mana satu bahagian memiliki satu undi lebih mencerminkan pandangan ahli secara menyeluruh.
Dan ini, katanya, secara langsung menunjukkan UMNO bukan lagi sekadar kuasa di tangan segelintir perwakilan.
“Saya percaya UMNO menjadi pengorak trend. Transformasi ini benar-benar meremajakan UMNO. Parti lain dilihat kuno dan ketinggalan,” katanya kepada Bernama TV.
Ahmad Shabery berkata demikian sebagai mengulas proses pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di 191 UMNO bahagian membabitkan 183 calon hari ini.
Lebih 220,000 perwakilan daripada ketiga-tiga sayap UMNO memilih pemimpin mereka dalam pelbagai peringkat – pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ketua, naib ketua dan ahli jawatankuasa.
Pertandingan Pergerakan Wanita menyaksikan 52 calon bertanding bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap (2 calon), Ketua Pergerakan (3), Naib Ketua (3) dan ahli exco (44).
Pertandingan Pergerakan Pemuda pula menyaksikan 94 calon merebut jawatan Pengerusi Tetap (3 calon), Timbalan Pengerusi Tetap (5), Ketua Pergerakan (5), Naib ketua (4) dan ahli exco (77).
Dan Puteri UMNO, 37 calon bertanding bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap (2), Ketua Pergerakan (2), Naib Ketua (3) dan ahli exco (30).
Sumber:umnoonline
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...