Khamis, 25 Ogos 2011

Siasat kelas tuisyen pesong akidah murid

MUHYIDDIN mencuba senjata Sniper Specialty Rifle 7.62mm pada Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama PDRM di ibu negara, semalam.
Kementerian Pelajaran pantau kegiatan kumpulan sebar agama lain di luar sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedang memantau dakwaan wujud kegiatan menyebarkan agama lain oleh kumpulan tertentu yang berselindung di sebalik kelas tuisyen percuma dengan menyasarkan murid sekolah rendah beragama Islam, terutama di kalangan keluarga miskin dan setinggan di ibu negara. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mengambil berat dakwaan itu dan siasatan terperinci perlu dilakukan kerana kegiatan berkenaan melanggar Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan melarang penyebaran agama lain kepada umat Islam. “Saya dimaklumkan kejadian berlaku di luar sekolah apabila anak ini mengikuti kelas tuisyen. Hal sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana negara kita ada undang-undang... ada enakmen tertentu melarang penyebaran agama lain kepada umat Islam. Disebabkan kejadian berlaku di luar sekolah, ibu bapa kenalah pantau anak mereka.

“Jika anak mengadu (mengenai kegiatan itu), ibu bapa perlu segera melaporkannya kepada Jabatan Agama Islam negeri dan ia haruslah disiasat,” katanya selepas menghadiri Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini kelmarin mengenai cubaan terbaru memesongkan akidah umat Islam dikesan dipercayai didalangi kumpulan tertentu dengan menyasarkan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun, terutama dari kalangan keluarga miskin di beberapa penempatan setinggan di Lembah Klang.

Difahamkan, kegiatan terbabit bertapak sejak enam tahun lalu berselindung di sebalik kelas tuisyen yang diadakan di bekas kuarters pekerja ladang di Hock Ann Estate, Jalan Klang Lama untuk menyebarkan pengaruh Kristian melalui tayangan video dan segmen menyanyikan lagu keagamaan.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian mendapati premis terbabit berkunci, dengan bahagian luarnya terdapat poster keagamaan yang tidak menunjukkan langsung imejnya sebagai kelas tuisyen.

Sementara itu pada majlis pelancaran Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (ECCE) di sini, semalam. Muhyiddin berkata, kerajaan sedang menggubal mekanisme serta syarat membolehkan guru dan pengasuh prasekolah di negara ini untuk memiliki kelayakan yang lebih tinggi.

Beliau berkata, semakin berilmu dan berkemahiran tinggi seseorang pendidik, semakin berkesan fungsi mereka sebagai pendidik dalam tahun formatif dan kritikal untuk perkembangan kanak-kanak.

Katanya, di kalangan negara yang sekian lama memberi pengiktirafan kepada pendidikan awal kanak-kanak seperti Russia, pendidik memiliki kelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) atau sekurang-kurangnya ijazah sarjana.

“Ini seharusnya menjadi aspirasi dan penanda aras. Sehubungan itu, saya difahamkan Kementerian Pelajaran dalam proses menggubal mekanisme dan syarat bagi membolehkan pendidik serta pengasuh mencapai kelayakan lebih tinggi dalam masa terdekat,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...