Jumaat, 26 Ogos 2011

Perdana Menteri Rakyat Sambut Merdeka Dengan Pendekatan Berbeza

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 dengan pendekatan berbeza kerana ia jatuh sewaktu Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata setiap tahun pada 31 Ogos, rakyat mendapat cuti umum dan mengadakan sambutan hari kemerdekaan secara besar-besaran di Dataran Merdeka serta mengibarkan Jalur Gemilang dengan bangga di rumah dan tempat kerja.
“Ia merupakan hari yang diraikan dengan penuh kebanggaan dan kesyukuran dalam memperingati waktu negara kita menjadi bebas daripada cengkaman penjajahan Barat.


“Pada tahun ini, apa kata kita renungkan apakah signifikasi hari ini kepada kita dan bagaimana setiap daripada kita memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara kita ini,” katanya dalam entri terbaru blog beliau www.1malaysia.com.my bertajuk ‘Kita Rakyat Malaysia’.
Najib berkata ramai rakyat tidak menyedari bahawa mereka merupakan penyumbang penting terhadap pertumbuhan dan kemajuan negara.
“Anda mungkin merasakan bahawa pekerjaan anda adalah terlalu kecil dan remeh jika dibandingkan dengan ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin korporat negara.
“Tetapi pada hakikatnya, setiap orang di negara ini merupakan sebahagian daripada tenaga kerja ekonomi negara dan masing-masing mempunyai peranan yang sama dalam pembentukan dan pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata rakyat perlu sedar bahawa apa sahaja kerja yang mereka lakukan dan tidak kira industri apa yang diceburi, ia mempunyai kesan kepada masyarakat dan pembangunan ekonomi negara.
“Setiap satu daripada anda, sama ada eksekutif korporat, pemandu teksi,guru, pelajar, petani, pekedai, atau pekerja pembersihan, masing-masing merupakan sebahagian daripada jentera sosio-ekonomi yang sama-sama menggerakkan negara ini ke hadapan”.
Najib berkata nenek moyang begitu berbangga dengan usaha yang telah mereka lakukan demi mendapatkan kemerdekaan negara ini yang seterusnya membawa kepada pembangunan negara.
Beliau berkata mereka mempunyai wawasan untuk melihat sebuah negara yang bebas dan makmur, dan rakyat pada hari ini pula berazam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi.
“Kini tiba giliran kita pula untuk memimpin negara. Negara ini adalah warisan kita dan saya percaya semangat yang sama akan mempertahankan kemakmurannya.
“Oleh itu, kita mesti merasa bangga dengan apa yang kita lakukan. Bangga dengan hakikat bahawa kejayaan kita dalam pekerjaan kita turut menyumbang kepada kejayaan negara, ini adalah peranan kita sebagai rakyat Malaysia, peranan kita dalam kesejahteraan negara,” katanya.
Katanya adalah amat penting bahawa kebanggaan itu mesti hadir bersama-sama dengan semangat dan keazaman untuk melakukan yang terbaik dan ia bukan hanya sekadar bekerja untuk mendapat gaji di akhir bulan tetapi ia adalah sebahagian daripada perjuangan patriotik untuk membawa negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Jika anda adalah seorang pemandu teksi, jadilah pemandu teksi yang terbaik, paling sopan dan paling efisien yang anda boleh. Jika anda seorang petani, lakukan yang terbaik untuk menghasilkan tanaman yang berkualiti tinggi.
“Jika anda seorang pekerja pembersihan, lakukanlah yang terbaik untuk memastikan kebersihan bandar raya, bandar dan kampung-kampung. Jika anda seorang guru, sediakanlah pelajar dengan kemahiran dan pendidikan yang terbaik untuk mereka bergerak ke hadapan,” katanya.
Najib berkata tanggungjawab untuk meningkatkan negara ke tahap seterusnya bukan hanya terletak pada pemimpin politik dan ekonomi negara tetapi ia adalah tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk benar-benar yakin dan percaya bahawa adalah tidak mustahil untuk meletakkan Malaysia di barisan hadapan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...